Abu Bakar Fadzim lega berikutan kejayaan PKNP FC mengatasi Kuala Lumpur 4-0 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi.

"Alhamdulillah, kami berjaya. Kami sudah tunggu lama -- tiga bulan untuk mencapai kejayaan ini.

"Saya berharap pemain mampu meneruskan momentum ini," katanya.

Menurutnya, pemain berasa tertekan berikutan kegagalan mencapai kejayaan dalam enam perlawanan dengan PKNP sekadar mengutip satu mata hasil seri 1-1 dengan Felda United.

"Kami bertemu pasukan-pasukan kelompok atasan dan menghadapi kesukaran untuk memenangi perlawanan.

"Kehadiran muka baru, terutama pemain import, menyebabkan pasukan lambat mencapai persefahaman dan rentak. Saya berharap ia segera berakhir, " katanya.

Abu Bakar yang juga pengurus pasukan menyifatkan kejayaan ke atas skuad warga kota itu sebagai titik perubahan kepada permulaan kurang memberansangkan musim ini.