Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, berterima kasih kepada Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) kerana sudi meminjamkan dua pemain, Syazwan Zaipol Bahari dan Muhammad Nazirul Afif Ibrahim, kepada pasukan itu.

"Terima kasih kepada PAFA. Peminjaman dua pemain itu sudah pasti akan memanfaatkan kami.

"Saya yakin Syazwan dan Botak (Nazirul) mampu memberi sumbangan besar kepada PKNP FC, " katanya.

Menurut Abu Bakar Bakar, dia mengenali kedua-dua pemain terbabit yang pernah berada di bawah bimbingannya sejak daripada pasukan Piala Belia dan Piala Presiden.

"Saya tahu kemampuan dan keupayaan mereka.

"Tempoh dua minggu selanjutnya akan digunakan untuk menyesuaikan mereka dengan pasukan," katanya lagi.

Jurulatih itu mengalu-alukan kedatangan Syazwan dan Nazirul Afif memandangkan benteng PKNP FC musim ini agak rapuh yang menyaksikan mereka dibolosi 30 gol dalam 15 perlawanan.

"Saya tidak tahu apakah yang menimpa benteng pertahanan kami.

"Kami berikan gol-gol mudah kepada lawan seperti yang berlaku ketika bertemu Kuala Lumpur baru-baru ini," katanya.

Dalam perlawanan yang dimenangi Kuala Lumpur 4-1 itu, skuad Warga Kota menjaringkan tiga gol dalam tempoh tujuh minit untuk memusnahkan PKNP.