12 tahun dalam bidang bola sepak, dua kali tercalon dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2020, penjaga gol, Zamir Selamat, menganggap pencalonan bagi musim 2020 lebih bererti.

Menerima saingan daripada calon pilihan, Zamir menerusi perkongsian bersama wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, melihat ia dari sudut berbeza dan berada dalam senarai 10 terbaik ABK20 disifatkannya sebagai satu penghormatan luar biasa.

Bekas tonggak Harimau Muda itu belum pernah menggondol mana-mana anugerah sepanjang dalam bidang itu.

Dia sudah melebihi sedekad menghiasi pentas bola sepak tanah air, namun hanya akhir-akhir ini namanya mula meniti semula di bibir peminat bola sepak negara.

Tegasnya, untuk posisi penjaga gol, ia masih didominasi nama-nama biasa seperti Farizal Marlias dan juga Khairul Fahmi Che Mat yang dianggap sebagai calon pilihan ABK20 yang akan diumumkan secara maya 30 Disember depan.

"Saya tidak jangka akan menang.

"Kalau masuk dalam kalangan lima terbaik sekalipun, saya anggap ia sesuatu yang di luar jangkaan.

"Kalau nak menang agak susah atas nama-nama yang telah kukuh selain muka baru.

"Walaupun saya sudah lama dalam bola sepak Malaysia, karier saya ada turun dan naik," katanya.


? ABK20 VIRTUAL: UNDIAN PENYOKONG KINI DIBUKA! Klik untuk mengundi pemain pilihan anda sekarang! ➡️...

Posted by Malaysian Football League on Sunday, December 20, 2020


Tetap berpegang kepada kelebihan penjaga gol yang sering dilabel makin tua makin berisi, pencalonan kali ini dianggap pembakar semangat buatnya melangkah ke musim baru 2021.

"Saya berjaya mencapai misi 2020 walaupun berdepan banyak cabaran.

"Pencalonan ini boleh memberi semangat kepada saya untuk beraksi dengan lebih baik lagi," katanya.

Merujuk kepada aksi musim depan, Zamir masih belum dapat memastikan jersi yang bakal disarungnya, namun khabarnya anak jati Kuala Lumpur itu masih menjadi pilihan skuad Warga Kota dan bakal disambung kontrak dalam masa terdekat.

"Saya masih berbincang dengan beberapa pasukan dan dalam masa seminggu ini, akan ada berita terbaru mengenai saya."