ABK 2018: Safawi dinobat Pemain Paling Bernilai

Penulis Jemputan
November 5, 2018 14:57 MYT
Bintang Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid, menepati ramalan untuk dinobatkan Pemain Paling Bernilai dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2018, secara tidak langsung mencipta sejarah muncul pemain paling muda pernah meraih anugerah tertinggi bola sepak negara itu.
Musim bola sepak negara 2018 melabuhkan tirai dengan malam kemuncak ABK di sebuah hotel di ibu negara, malam ini.
Jika sebelum ini kebanyakan anugerah dimonopoli pasukan pasukan pilihan tetapi berlainan pula dengan edisi ke-13 ini apabila menyaksikan saingan yang lebih terbuka.
Kejayaan merangkul dua anugerah, bermula dengan Pemain Tengah Terbaik dan Pemain Muda Harapan nyata memberi kelebihan buat bintang Harimau Selatan itu untuk turut diangkat selaku Pemain Paling Bernilai berdasarkan sumbangan dan persembahan yang ditampilkan, bukan sahaja untuk pasukan dari selatan tanah air berkenaan, malah untuk skuad muda dan senior negara.
"Alhamdulillah saya memenangi anugerah malam ini.
"Saya berasa tercabar dengan saingan diberikan Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Nor Azam Azih.
"Alhamdulillah menjadi rezeki saya pada malam ini dan saya berasa sangat gembira kerana turut memenangi Anugerah Pemain Tengah Terbaik," kata Safawi.
Undian dilakukan menerusi pemilihan jurulatih dan juga ketua pasukan.
Selain itu, kejayaan membawa The Bos Gaurus muncul naib juara Liga Super dan juara Piala Malaysia membawa kepada nama Mehmet Durakovic diumum selaku Jurulatih Terbaik ABK.
"Saya berasa rendah diri tetapi pada akhirnya, anugerah ini untuk para pemain, barisan kejurulatihan, pengurusan, termasuk seluruh peminat Malaysia dan keluarga saya.
"Terima kasih kepada anda semua," kata Durakovic.
Senarai penuh pemenang ABK 2018:
Pemain Paling Bernilai: Safawi Rasid
Jurulatih Terbaik: Mehmet Durakovic
Pemain Tengah Terbaik: Safawi Rasid
Penyerang Terbaik: Akhyar Abdul Rashid
Pertahanan Terbaik: Shahrul Saad
Penjaga Gol Terbaik: Farizal Marlias
Pemain Muda Harapan: Safawi Rasid
Kasut Emas: Rufino Segovia
Laman Sesawang Terbaik: JDT
Media Sosial Terbaik: JDT
Mesra Media: Yusri Che Lah
Pemain Import Terbaik: Rufino Segovia
Kesebelasan Pilihan: Farizal Marlias, Rizal Ghazali, Shahrul Saad, Marcos Antonio, Kamal Azizi Zabri, Lee Tuck, Thierry Chanta Bin, Faiz Nasir, Safawi Rasid, Tchetche Kipre, Akhyar Rashid.
Pemain ASEAN Terbaik: Hariss Harun
Pemain Paling Popular: Lee Tuck
Penyokong Terbaik: JDT