Kasper Schmeichel berkata dia tidak pernah mendengar cerita tentang jaringan legenda Croatia, Davor Suker, yang menyungkit bola melepasi bapanya apabila penjaga gol Denmark itu dalam persiapan untuk pertembungan Piala Dunia 2018 berdepan skuad bimbingan Zlatko Dalic.

Suker menjaringkan gol ketiga ketika Croatia mengalahkan Denmark 3-0 dalam Euro 96 dengan menendang bola melepasi jangkauan Peter Schmeichel sementara anak lelakinya kini bersiap untuk membantu negaranya menjangkau peringkat suku akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak 20 tahun lalu.

Menjelang pertembungan pusingan 16 malam ini, penjaga gol Leicester City berkenaan ditanya sama ada dia telah diberitahu mengenai sejarah bapanya ketika menentang Croatia.

Sebaliknya, dia memaklumkan kepada wartawan bahawa dia tidak pernah mendengar cerita mengenai ikon Croatia, Suker, yang memperdayakan bapanya dengan cara yang menakjubkan.

"Dia orang Croatia, saya tahu itu. Ada apa-apa lagi?" jawab Schmeichel apabila nama Suker diutarakan.

Disoal sama ada dia bosan dengan soalan berkisar kepada bapanya -- juara Euro 1992 -- Schmeichel menambah: "Ia tidak menjengkelkan, saya hanya mengharapkan soalan lebih baik daripada anda!

"Ia tidak dapat dielakkan semasa Piala Dunia, media baru akan bertanyakannya. Orang Denmark sudah tahu apa yang akan dijawab tetapi saya rasa ia adalah sebahagian daripada kehidupan."

Simon Kjaer, watak utama di bahagian pertahanan Denmark yang hanya dibolosi satu gol dalam tiga perlawanan Kumpulan C, berkata Schmeichel telah membuktikan kualitinya dalam Piala Dunia.

"Dia telah melaksanakan tugas dengan baik," kata Kjaer mengenai Schmeichel. "Saya tidak mahu terlalu memujinya!

"Dia sangat penting di dalam dan luar padang, corak permainannya tidak mengejutkan kami.

"Dia merupakan penjaga gawang handalan dan dia sudah membuktikannya. Kami gembira bagi pihaknya dan pasukan."