Aaron Ramsey akan menjadi ejen bebas selepas Juventus mengumumkan kontraknya dengan kelab Itali itu telah ditamatkan secara persetujuan bersama.

Pemain antarabangsa Wales itu menyertai Bianconeri pada 2019 sebaik kontrak di Arsenal berakhir tetapi dia diketepikan musim lalu apabila hanya membuat tiga penampilan Serie A sebelum dipinjamkan ke kelab Scotland, Rangers.

Dia beraksi tujuh kali untuk Gers dalam Liga Perdana Scotland, tetapi kelibatnya di Glasgow akan dikenang atas kegagalannya dalam penentuan penalti dalam perlawanan akhir Liga Europa menentang Eintracht Frankfurt di Seville.

Pemain berusia 31 tahun itu kembali ke Turin selepas tempoh pinjaman singkat tersebut dengan kontrak berbaki setahun sebelum kedua-dua pihak bersetuju untuk berpisah.


Pemain tengah itu telah dikaitkan dengan beberapa perpindahan termasuk bekas kelab remajanya, Cardiff City, serta pendatang baru Liga Perdana Inggeris, Nottingham Forest, di mana dia menghabiskan masa singkat dipinjamkan pada musim 2010-11.

Ramsey cenderung untuk tawaran beraksi lebih kerap sebagai persiapannya menghadapi Piala Dunia bersama Wales di Qatar pada November depan.

Sementara itu, Juventus dilaporkan berminat dengan Leandro Paredes daripada Paris Saint-Germain yang dipinjamkan ke Sporting Lisbon musim lalu dan kelab Ligue 1 berkenaan sedia melepaskannya secara kekal.