Sepuluh jurulatih bakal dipilih bagi mengisi kekosongan jawatan sebagai ketua jurulatih remaja negeri (KJRN) dan jurulatih dalam Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) di Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal NFDP, Datuk Seri Subahan Kamal, berkata pihaknya sudah mengiklankan jawatan jurulatih yang masih belum diisi itu pada 10 hingga 18 Januari lalu selepas proses penstrukturan semula kejurulatihan di AMD dan NFDP.

"Sebanyak 83 permohonan diterima daripada jurulatih tempatan dan luar negara untuk mengisi kekosongan itu. Malah, hari ini kita sudah menjalankan sesi temuduga calon ketua jurulatih remaja negeri untuk mengisi kekosongan di beberapa negeri yang akan diletakkan di bawah tanggungjawab Saad Ichalalene yang dilantik sebagai Pengarah Teknikal NFDP.

"Isnin depan, kamiakan mengadakan temuduga bagi jawatan di AMD yang akan melengkapkan struktur kejurulatihan di bawah Lim Teong Kim selaku Pengarah Teknikal AMD," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal NFDP di Majlis Sukan Negara, hari ini.

Subahan berkata selaras dengan proses penstrukturan semula NFDP, sistem kejurulatihan juga perlu diubah agar ia boleh digerakkan segera bagi memastikan kesinambungan pembangunan pemain muda tidak terbantut selepas sistem NFDP dirombak pada 10 Disember lalu.

Beliau berkata gerak kerja yang disusun ketika ini bukan saja dirangka bagi menambah baik pelaksanaan NFDP, namun ia lebih telus dan inklusif dengan mengambil kira kepentingan dan suara semua pihak.

Dalam pada itu, Subahan berkata bagi memastikan pemain muda di AMD mendapat pendedahan pertandingan secukupnya, Jawatankuasa Teknikal NFDP membuat keputusan untuk merayu kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi membenarkan penyertaan pasukan itu dalam Kejohanan Piala Belia dan Piala Presiden.

-- BERNAMA