Terbuka Denmark: Soon Huat-Shevon tersingkir di tangan pilihan ketiga dari Indonesia

Muzaffar Musa
Oktober 21, 2021 10:48 MYT
Beregu campuran negara, Gooh Soon Huat-Shevon Lai, tersingkir dalam pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Denmark selepas tewas kepada pasangan pilihan ketiga dari Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti, di Odense Sports Park sebentar tadi.
Selepas mendapat laluan percuma dalam pusingan pertama -- berikutan penarikan diri pasangan China, He Jiting-Liu Xuanxuan -- keupayaan Soon Huat-Shevon benar-benar teruji berdepan gandingan nombor lima dunia, Praveen-Melati, sepanjang 28 minit waktu permainan.
Sejak kedudukan terikat 1-1, pasangan negara itu tidak pernah berada di depan sebelum akur tewas mudah 14-21 dalam set pertama.
Kebangkitan yang diharapkan daripada beregu negara itu dalam set kedua juga tidak kesampaian, di mana Praveen dan Melati tidak memandang ke belakang selepas mendahului 11-8 sebelum mengesahkan kemaraan ke suku akhir dengan kemenangan 21-12.
Keputusan lain:
Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mn Ko Sung Hyun-Eom Hye Won
18-21, 21-18, 21-13
#badminton #Goh Soon Huat #Shevon Lai #Badminton Terbuka Denmark