Terbuka Denmark: Saya sudah cuba yang terbaik - Lee Zii Jia

Sinar Harian
Oktober 24, 2022 09:41 MYT
Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia, menaruh keyakinan untuk merangkul gelaran ketiganya musim ini meskipun terlepas kejuaraan Terbuka Denmark malam tadi.
Pemain berusia 24 tahun itu masih berpeluang bergelar juara menerusi dua kejohanan yang bakal disertainya, iaitu Terbuka Perancis bermula esok dan Terbuka Hylo di Saarbrucken, Jerman pada 1 hingga 6 November ini.
Justeru, Zii Jia, yang menghuni ranking ketiga dunia enggan mengalah biarpun tewas di tangan pemain China, Shi Yu Qi, yang menduduki ranking ke-44 dunia, di pentas final Terbuka Denmark.
Sebaliknya, pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu menyifatkan kekalahan tersebut sebagai penyuntik semangat untuk bangkit melakar lebih banyak kejayaan.
“Saya masih mempunyai dua kejohanan yang akan disertai dan diharap boleh mengekalkan prestasi,” katanya.
Zii Jia sebelum ini meraih kejuaraan Terbuka Thailand dan Kejohanan Badminton Asia.
Dalam perlawanan akhir itu, Zii Jia, yang merupakan pilihan keempat kejohanan dan menjadi pilihan memenangi aksi final tersebut, kalah dalam pertembungan tiga set 18-21, 21-16, 12-21 di Arena Jyske Bank, Odense.
Tentangan sengit ditunjukkan Yu Qi dalam set pertama sehingga memaksa Zii Jia akur tewas 18-21.
Dia kemudian bangkit dalam set kedua dengan kemenangan 21-16 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.
Bagaimanapun Zii Jia gagal mengekalkan rentak terbaik dalam set penentuan apabila ketinggalan seawal permainan, sekali gus memberikan ruang buat Yu Qi merangkul kejuaraan dengan kemenangan 21-12.
“Bermula set ketiga, saya tidak begitu fokus dan dia dapat mengambil peluang itu untuk mengawal permainan.
"Apapun, secara keseluruhan, ini adalah satu permulaan yang baik untuk saya,” ujarnya.
Kredit: Sinar Harian
#badminton #Lee Zii Jia #Badminton Terbuka Denmark