Piala EFL: Chelsea jumpa Spurs, Liverpool bertemu Arsenal dalam separuh akhir

Muzaffar Musa
Disember 23, 2021 01:06 MYT
Chelsea akan berdepan naib juara musim lalu, Tottenham, dalam separuh akhir Piala Liga Inggeris (EFL) manakala Liverpool pula diundi bertemu Arsenal.
Pasukan bimbingan Thomas Tuchel, Chelsea, menewaskan Brentford 2-0 awal pagi tadi hasil jaringan sendiri Pontus Jansson dan sepakan penalti Jorginho dalam 10 minit terakhir.
The Blues kini akan menghadapi perlawanan timbal balik menentang bekas pengurus mereka, Antonio Conte, yang kini mengemudi Tottenham, awal bulan depan.
LIverpool, yang bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat Leicester City 3-3 sebelum memenangi penentuan sepakan penalti awal pagi tadi, pula akan bertemu Arsenal dalam separuh akhir.
The Gunners tidak berdepan sebarang kesukaran untuk menempatkan diri selaku empat pasukan terbaik apabila dengan mudah membelasah pasukan daripada liga divisyen tiga, Sunderland, 5-1 di mana Eddie Nketiah turut menjaringkan hatrik.
Aksi separuh akhir Piala EFL akan mengambil tempat pada dua minggu pertama tahun 2022 dengan aksi final akan berlangsung di Wembley pada 27 Februari depan.

Your #CarabaoCup Semi-Final ties are confirmed!#EFL pic.twitter.com/2ykOI8rL4N

— Carabao Cup (@Carabao_Cup) December 22, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#bola sepak #Arsenal #Chelsea #Liverpool #Tottenham Hotspur #Piala EFL