Piala Dunia Qatar: Legasi Messi tidak terjejas jika gagal jadi juara, kata Guedioura

Muzaffar Musa
Disember 8, 2022 23:36 MYT
Lionel Messi tidak perlu memenangi Piala Dunia untuk mengekalkan legasinya, kata Aldene Guedioura kepada Stats Perform.
Pemenang tujuh kali Anugerah Ballon d'Or itu telah memenangi lapan kejuaraan liga dan empat gelaran Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sepanjang karier gemilangnya.
Bagaimanapun, kejayaan di peringkat antarabangsa bersama Argentina merupakan kisah berbeza buat Messi walaupun berhasil membantu negaranya memenangi Copa Amerika tahun lalu selepas tiga kali bergelar naib juara sebelumnya.
Messi hampir memenangi Piala Dunia pada 2014 tetapi La Albiceleste tewas kepada Jerman dalam final gara-gara jaringan lewat permainan Mario Gotze.
Kegagalan pemain berusia 35 tahun itu membawa pulang trofi antarabangsa utama berkenaan dianggap sesetengah pihak sebagai sesuatu yang akan menjejaskan legasinya sambil membandingkan pencapaiannya dengan dua legenda bola sepak, Pele dan Diego Maradona.
Piala Dunia di Qatar, yang sedang berlangsung ketika ini, mungkin menjadi peluang terakhir Messi untuk memenangi trofi itu, di mana Argentina akan berdepan Belanda dalam perlawanan suku akhir awal pagi esok.
Guedioura percaya walaupun Argentina gagal memenangi trofi Piala Dunia ketiga mereka di Qatar, Legasi Messi langsung tidak akan tercalar.

?? ? ? ? ? ? ??#FIFAWorldCup #Qatar2022 pic.twitter.com/p7u3XynJ2i

— FIFA World Cup (@FIFAWorldCup) December 7, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Bekas pemain tengah Algeria itu berkata kepada Stats Perform: "Langsung tidak (akan terjejas).
"Kita sudah menikmati aksinya sejak sekian lama bersama (Cristiano) Ronaldo.
"Saya fikir kejayaan bersama Argentina sudah pasti akan meletakkannya dipuncak segala-galanya tetapi melihatnya beraksi bersama Barcelona dan Paris Saint-Germain (PSG) juga merupakan sesuatu yang istimewa," katanya.
#bola sepak #Lionel Messi #Argentina #Piala Dunia Qatar