Guardiola lega Kevin De Bruyne kembali temui rentak bantu City rampas takhta EPL

Shaiful Shamsudin
Oktober 29, 2022 23:48 MYT
LEICESTER CITY 0 MAN CITY 1
Pep Guardiola menegaskan Kevin De Bruyne kembali menemui prestasi sebenarnya selepas sepakan percuma menakjubkannya membantu Manchester City menewaskan Leicester City.
City merampas persada Liga Perdana Inggeris (EPL), malam tadi, menerusi percubaaan pemain tengah itu dari jarak sejauh 25 meter bagi mengesahkan kemenangan tipis 1-0 di Stadium King Power selepas beraksi tanpa penjaring utama, Erling Haaland.
Guardiola mengakui dia menaruh harapan besar terhadap pemain antarabangsa Belgium itu dalam beberapa minggu kebelakangan ini sambil mengharapkan penggempur utamanya tersebut cergas semula untuk pertembungan dengan Fulham, hujung minggu depan.
"Kevin De Bruyne sudah kembali," katanya kepada BT Sport.
"Dia tidak bermain dengan baik dalam beberapa perlawanan terakhir, tetapi hari ini dia hebat. Dia menyedarinya.
"Tiada ruang buat kami jadi kami perlu bersabar. Leicester mengubah (taktik), dan ia adalah perlawanan yang sukar memandangkan mereka mempunyai 10 pemain di kawasan sendiri dan ia cukup sukar.

King Kev clutches it at the King Power! ? ? 0-1 ? #ManCity pic.twitter.com/FzOlH0JKBX

— Manchester City (@ManCity) October 29, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Selepas kami menjaringkan gol, mereka mengubah rentak mereka dan dalam EPL, beberapa minit terakhir sentiasa sukar jadi ini satu kemenangan mustahak buat kami."
Ditanya bilakah Haaland akan kembali, Guardiola memberitahu BBC Sport: "Saya tidak pasti. Dia mengalami kecederaan ligamen.
“Dia makin pulih dan kami mempunyai seminggu lagi untuk pastikannya pulih memandangkan dia tidak akan bermain menentang Sevilla (awal pagi Khamis) berikutan kami sudah layak (dalam Liga Juara-Juara).
"Dan kemudian diharapkan ketika menentang Fulham, dia dapat membantu kami. Jika tidak, dia mungkin diturunkan ketika berdepan Chelsea dalam Piala Liga Inggeris."
#Manchester City #Pep Guardiola #Leicester City #Kevin De Bruyne #EPL