Bosnia tangguh aksi ujian berdepan Russia selepas didesak

Shaiful Shamsudin
November 1, 2022 04:12 MYT
Bosnia dan Herzegovina menangguhkan perlawanan persahabatan dengan Russia selepas menerima kecaman hebat termasuk daripada pemain mereka sendiri.
September lalu, Bosnia mengumumkan mereka akan menguji Russia di Saint Petersburg pada 19 November, beberapa hari sebelum Piala Dunia berlangsung di Qatar.
Perlawanan itu akan menjadi perlawanan pertama Russia menentang pasukan Eropah sejak digantung daripada terlibat dalam semua kejohanan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) berikutan pencerobohan negara berkenaan ke atas Ukraine pada Februari lalu.
Bagaimanapun, susulan aduan daripada Miralem Pjanic dan Edin Dzeko, Persatuan Bola Sepak Bosnia (NSFSBIH) mengumumkan perlawanan itu tidak akan diteruskan bulan depan.
"Perlawanan persahabatan di antara Bosnia dan Herzegovina dengan Russia yang sepatutnya dimainkan pada 19 November tidak akan dilangsungkan," kata kenyataan hari ini.

Prijateljska utakmica „A“ reprezentacija Bosne i Hercegovine i Rusije koja je trebala biti odigrana 19. novembra u Sankt Peterburgu neće biti odigrana u tom terminu.https://t.co/Bjg6uNdjq0 pic.twitter.com/taMqC56tX0

— NFS BIH (@NFSBiH) October 31, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Dalam sesi lembaga eksekutif Persatuan Bola Sepak Bosnia dan Herzegovina hari ini, perlawanan yang dirancang pada 19 November ini akan ditunda.
"Presiden NSFSBIH, Vico Zeljkovic, menyatakan bahawa perlawanan persahabatan ini akan dilanjutkan ke tarikh baru."
Bosnia gagal ke Piala Dunia selepas menduduki tempat keempat dalam kumpulan kelayakan, manakala Rusia disekat daripada mengambil bahagian dalam perlawanan play-off, Mac lalu, akibat peperangan di Ukraine.
Satu-satunya perlawanan Russia sejak November tahun lalu ialah kemenangan persahabatan 2-1 menentang Kyrgyzstan di Bishkek, September lepas.
#Russia #Bosnia dan Herzegovina