Badminton Terbuka Australia: Yew Sin-Ee Yi muncul naib juara

Shaiful Shamsudin
November 20, 2022 11:06 MYT
Penantian tiga tahun beregu negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, untuk menamatkan penantian trofi tidak kesampaian apabila terlepas untuk menggenggam gelaran juara Kejohanan Badminton Terbuka Australia selepas ditundukkan gandingan China, Liu Yuchen-Ou Xuanyi.
Dalam perlawanan akhir sebentar tadi, wakil profesional negara itu yang mengisi tangga kelapan dunia sukar menandingi pencabar yang menghuni ranking ke-14 dunia berkenaan.
Percubaan Ee Yi-Yew Sin tidak mudah apabila pihak lawan bijak mematahkan pukulan mereka untuk menamatkan set pertama 21-16.
Usaha kebangkitan set kedua menyaksikan kedua-dua seteru itu saling mengejar mata, tetapi beregu negara tersebut terpaksa akur apabila Yu Chen-Xuan Yi mempamerkan permainan lebih kemas untuk memuktamadkan kejuaraan dalam tempoh 44 minit menerusi kemenangan 22-20.
#badminton #Beregu