Amat bodoh, amat menjengkelkan -- Terzic bengang Dortmund tewas saat akhir kepada Werder Bremen

Muzaffar Musa
Ogos 21, 2022 02:27 MYT
BORUSSIA DORTMUND 2 WERDER BREMEN 3
Edin Terzic bengang apabila Borussia Dortmund mensia-siakan kelebihan 2-0 sehingga minit ke-89 sebelum tewas 2-3 kepada Werder Bremen dalam aksi Bundesliga di Signal Iduna Park malam tadi.
Gol daripada Julian Brandt dan Raphael Guerreiro meletakkan perlawanan itu berada dalam kawalan Dortmund dan mereka kelihatan akan mudah mendapatkan tiga mata.
Bagaimanapun, sikap tidak mengaku kalah Werder jelas membuahkan hasil apabila Lee Buchanan merapatkan jurang pada minit ke-89 sebelum Niklas Schmidt mengikat kedudukan pada minit ketiga waktu kecederaan dan Oliver Burker melengkapkan kebangkitan mereka dengan gol kemenangan berselang dua minit.
Dengan kebangkitan menakjubkan itu, Bremen menjadi pasukan pertama dalam sejarah Bundesliga menjaringkan tiga gol selepas minit ke-89 dalam satu perlawanan.
Ketua jurulatih Dortmund, Terzic, berkata: "Sejujurnya, anda perlu katakan yang ia kekalahan selayaknya. Kami tidak bermain dengan baik, dan ia persembahan yang buruk daripada kami, dalam babak pertama dan kedua.
"Kami tidak dapat mengawal permainan. Dengan cara kami dibolosi pada saat-saat akhir, ia sesuatu yang teramat bodoh, teramat menjengkelkan dan kini kami tidak dapat apa-apa."
#bola sepak #Borussia Dortmund #Werder Bremen #Bundesliga #Edin Terzic