Pasukan Petronas Sprinta Racing dan SIC Racing mengambil keputusan berani untuk tidak menyertai ujian pra-musim bagi kelas Moto2 dan Moto3, sebaliknya mengambil kesempatan menggunakan peluang sebaik mungkin untuk menguji jentera di laman sendiri di Litar Antarabangsa Sepang sejak semalam.

Ketika ujian pra-musim di litar Valencia dari 6 hingga 8 Februari lalu, keadaan cuaca yang tidak menentu jadi penghalang barisan pelumba negara seperti Adam Norrodin dan Zulfahmi Khairuddin untuk menguji keupayaan jentera masing-masing.

Justeru, pihak pengurusan mengambil keputusan untuk tidak mengikuti ujian pra-musim di Jerez, Sepanyol pada minggu ini, sebaliknya berlatih di Sepang.

Ia tampak memberi kelebihan daripada sudut masa yang lebih lama untuk setiap pelumba dalam mencari keserasian dengan jentera berbanding terpaksa menunggu giliran panjang jika berada di Jerez.

"Ujian pra-musim ini sangat penting sebab di sini kami dapat membuat aturan motosikal yang baik. Dalam jentera motosikal ini pelbagai perkara yang perlu ditukar. Walaupun ia sangat terperinci, ia memberi kesan di atas trek," kata Zulfahmi.

"Ia lagi baik kerana dapat membuat ujian sendiri untuk memberikan ia lebih menarik. Kami tidak mahu ketinggalan daripada pasukan lain. Bagi kami, kalau dapat buat ujian seperti ini, kami lebih fokus," tambah Adam.

Selain Adam dan Zulfahmi, seorang lagi pelumba Jepun, Ayumu Sasaki, yang juga rakan sepasukan Adam dalam pasukan Petronas Sprinta Racing turut tidak melepaskan peluang untuk berlatih bersama.