Pemanah compound negara, Zulfadhli Ruslan, tidak berasa kekok berlatih seorang diri tanpa dua rakan sepasukan, Juwaidi Zulkifli dan Lee Kin Lip, dalam persiapan menghadapi Kejohanan Memanah Dunia di Mexico, 15 Oktober ini.

Zulfadhli adalah antara tonggak yang menyumbang emas acara compound berpasukan bersama Juwaidi dan Kin Lip dalam Sukan SEA Kuala Lumpur bulan lalu.

Susulan kejayaan skuad compound yang membanggakan, Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) berhasrat menghantar skuad compound dan recurve ke Mexico.

Ia bakal menjadi penampilan pertama skuad compound dalam Kejohanan Dunia, namun ketika ini Zulfadhli dikhabarkan berlatih berseorangan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil kerana Juwaidi masih mempunyai komitmen di Melaka sementara Kin Lip berada di Sabah.

"Kalau berlatih seorang diri, saya akan meminta jurulatih untuk tengok prestasi saya lebih mendalam. Kita perlu berdikari sedikit tetapi pada awalnya memang agak sukar," katanya.

Bagaimanapun, latihannya masih lagi di bawah pemantauan jurulatih negara, Muhammad Zaki Mahazan.

Juwaidi dan Kin Lip dijangka kembali menjalani latihan bersama-sama Zulfadhli di MSN dalam tempoh dua minggu lagi sebelum mereka berlepas ke Mexico pada 11 Oktober ini.

"Buat masa ini, tiada sebarang sasaran diletakkan kKecuali saya sendiri mahu cuba memperbaiki catatan saya di samping memperbaiki rekod kebangsaan," tambahnya.