Atlet lontar peluru negara, Ziyad Zolkefli, kini mencapai berat badan ideal, iaitu 121 kilogram,
bagi menjamin prestasi lebih cemerlang menjelang 2018 yang merupakan tahun lebih sukar buat
juara Sukan Paralimpik 2016 itu.


Selepas mencuba sekian lama, penghujung 2017 akhirnya memberikan satu kepuasan buat
Ziyad selepas mencapai berat badan yang diperlukan bagi menjamin perjalanan lebih jauh.

Anak jati Selangor itu menegaskan itu kali pertama dia mencapai berat melebihi 120kg selepas
mencuba sejak setahun lalu menerusi saranan jurulatihnya, Faizol Harun.

“Tahun lalu, saya perlu mendapatkan berat badan 120kg tetapi sekarang sudah mencecah
121kg. Bagi saya, ia adalah sesuatu yang bagus untuk memastikan setiap lontaran saya
konsisten dan mencapai satu tahap yang lain,” katanya.

Bagi Ziyad, ia tidak menjadi satu masalah buatnya untuk menyesuaikan balingan dengan berat
badan baru sambil menegaskan sasaran utamanya adalah untuk layak ke Sukan Asia 2018
selain memastikan kelebihan terus memihaknya dalam saingan Sukan Para Asia.

“Sebenarnya, jika dibangdingkan dengan berat badan saya sebelum ini (115kg), saya tidak
berasakan perbezaan yang besar. Tidak terlalu penat dan sama saja,” katanya.