Jurulatih lontar peluru para, Faizol Haron, sekali lagi memilih Jerman bagi memperhalusi teknik lontaran anak buahnya, Ziyad Zolkefli, dan akan berlepas hari ini dalam memenuhi hasrat untuk mengembalikan atlet itu selaku nombor satu dunia menjelang Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Merujuk kepada catatan terbaru di pentas Kejohanan Dunia, Ziyad melakar balingan sejauh 17.03 meter manakala atlet Ukraine, Maksym Koval, merakamkan balingan sejauh 17.11m, namun ia masih jauh untuk mengatasi catatan terbaik juara bertahan Sukan Olimpik itu, iaitu 17.29m yang dilakukannya di London pada 2017.

Bagi Faizol, ia bukan jurang yang besar dan hal itu boleh dibuktikan dalam temasya Tokyo 2020 kelak.

"Saya dan jurulatih di Jerman telah membuat perancangan untuk Ziyad.

"Kami tidak boleh meningkatkan prestasinya secara mendadak atas faktor usianya yang kini berumur 30 tahun.

"Tetapi kami fokus kepada apa yang mampu dilakukannya," katanya di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, pagi tadi.

Kegagalan memastikan pingat emas dalam Kejohanan Dunia IPC di Emiriah Arab Bersatu (UAE) tahun lalu umpama pengajaran yang cukup berguna buatnya.

Daripada seorang wakil nombor satu dunia, kedudukannya kini di ranking kedua dunia -- di belakang atlet para Ukraine yang baru sahaja berusia 22 tahun.




Editor: Shaiful Shamsudin