Kekalahan mengejut Lee Zii Jia kepada lawan di ranking lebih rendah, Loh Kean Yew, dalam Terbuka Perancis malam tadi mencetuskan persoalan mengenai kredibiliti perseorangan lelaki nombor satu negara itu.

Bagaimanpun, bekas jaguh negara, Roslin Hashim, tampil mempertahankan kekalahan pemain kelahiran Kedah itu dengan menyifatkan ia sebagai perkara biasa.

Ia memandangkan Zii Jia kini dipengaruhi faktor kepenatan selepas mengharungi empat kejohanan berturut-turut, bermula dengan Piala Sudirman.

"Saya tidak terkejut. Seperti yang kita tengok ketika dia tewas kepada Victor Axelsen dalam Terbuka Denmark minggu lalu, dia nampak keletihan sementara keadaan Loh Kean Yew pula kelihatan lebih baik daripadanya," kata Roslin.





Pemain utama negara akan mengharungi satu lagi kejohanan di Eropah, Terbuka Hylo, di Jerman minggu depan sebelum beralih kepada kempen Master Indonesia dan Terbuka Indonesia selain Final Jelajah Dunia BWF di negara sama, disusuli Kejohanan Dunia di Sepanyol.

"Pada pandangan saya, lebih baik dia direhatkan dalam kejohanan terdekat supaya dia dapat mengelakkan kecederaan.

"Tolak ke tepi rasa rugi, dia sebenarnya tidak rugi apa-apa.

"Keadaannya ketika ini paling penting kerana kalau dia terus bermain dan kalah, psikologi akan bertambah teruk."