Pelumba SuperSports 600cc negara, Mohd Zaqhwan Zaidi, menyasarkan untuk menaiki podium dalam pusingan keempat Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Sentul, Indonesia pada 12 dan 13 Ogos ini bagi terus menghambat kedudukan pendahulu keseluruhan milik seorang lagi pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman.

Pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing itu, yang juga juara bertahan dan kini berada di kedudukan ketiga keseluruhan dengan 80 mata, 22 mata ketinggalan kepada Azlan dan dua mata di belakang Yuki Ito, yakin mampu meraih keputusan positif berdasarkan dua podium yang diraih di litar sama pada musim lalu.

“Jurang mata semakin jauh selepas pusingan ketiga di Suzuka, namun saingan masih panjang. Kami masih ada baki enam perlumbaan, cuma saya tidak boleh membiarkan Azlan untuk terus menjarakkan diri,” jelas Zaqhwan.

Tambahnya, “Pada masa sama, saya sentiasa yakin pasukan mampu melakukan persediaan terbaik sebagaimana ketika aksi dalam Kejuaraan Endurance Dunia Suzuka 8 Jam di Jepun, baru-baru ini.

"Gandingan yang diketuai pengurus, Zulhelmi Ahmad, dan rakan-rakan lain melakukan tugasan cemerlang di Suzuka, jadi momentum itu pasti akan berterusan di Indonesia minggu ini,” jelas Zaqhwan yang menamatkan saingan Suzuka 8-Jam di kedudukan kelapan keseluruhan bersama-sama rakan sepasukan, Dimas Ekky Pratama (Indonesia) dan Ratthapong Wilairot (Thailand).

Pada masa sama, Zaqhwan juga ingin menebus kekecewaan dalam pusingan keenam Kejohanan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berakhir di Jasin

“Saya begitu kecewa dengan aksi di Jasin. Kerja keras kami sepasukan serba tidak menjadi. Saya gagal memungut sebarang mata dan gagal tersenarai dalam 10 pelumba ke Superpole buat pertama kalinya. Saya akan bekerja keras untuk menebus kekecewaan tersebut di Indonesia nanti.”