Pelumba SuperSports 600cc negara, Mohd Zaqhwan Zaidi perlu menang dalam kedua-dua perlumbaan SuperSports 600cc agar dapat merapatkan jurang dan menghidupkan peluang untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan musim 2016 dalam saingan pusingan kelima Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Lumba Motor Madras, Chennai, India minggu ini.

Juara keseluruhan 2014 dan 2016 dari pasukan Musashi Boon Siew Honda Racing itu kini berada di tangga keempat keseluruhan dengan 93 mata, ketinggalan 25 mata kepada seorang lagi pelumba Malaysia, Azlan Shah Kamaruzaman (Manual Tech KYT Kawasaki Racing) yang mendahului kedudukan dengan 118 mata.

“Perlumbaan minggu ini sangat penting untuk saya. Saya perlu menang bagi merapatkan jurang dengan Azlan.

"Jika gagal, misi saya semakin sukar apabila pusingan terakhir bersambung di Thailand nanti kerana jentera Kawasaki mempunyai rekod cemerlang apabila Azlan menang kedua-dua perlumbaan dalam pusingan kedua lalu,” jelas Zaqhwan.

Tambahnya: “Saya pernah beraksi di Litar Madras, dan ketika itu saya dan Azlan merupakan rakan sepasukan. Dia mempunyai rekod baik di Litar Madras apabila muncul naib juara dalam kedua-dua perlumbaan, namun pada musim ini jentera yang digunakannya adalah berbeza dan peluang juga lebih terbuka.

“Apa yang paling penting, saya perlu mengelak kesilapan seperti yang berlaku di Indonesia. Saya terjatuh dan gagal mengutip sebarang mata, ia sangat mengecewakan.

"Saya perlu lebih fokus dan tenang. Selain Azlan, beberapa pelumba lain seperti Taiga Hada, Ahmad Yudistira dan Yuki Ito juga perlu diberi perhatian.”