Tiada istilah penat buat pelumba negara, Mohd Zaqhwan Zaidi, yang baru selesai mengharungi saingan berprestij Kejuaraan Endurance Dunia Suzuka 8-Hour di Suzuka, Jepun, minggu lalu apabila terus bertandang ke Litar Lumba Motor Madras, India, bagi mengharungi saingan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), hujung minggu ini.

Pelumba yang membawa cabaran Honda Asia Dream Racing dalam Kejuaraan Suzuka 8-Hour itu menamatkan saingan di tangga ketujuh bersama rakan sepasukan, Troy Herfoss (Australia) dan Andi Farid Izdihar (Indonesia) -- satu tangga lebih baik berbanding keputusan yang diraih pada musim 2017.

Berpuas hati dengan pencapaian tersebut, pelumba berusia 23 tahun itu menjelaskan kini tumpuannya terarah untuk mempertahankan kemenangan yang diraih di India dalam saingan SuperSports 600cc musim lalu.

“Hampir dua bulan kami sepasukan melakukan persediaan rapi untuk menghadapi perlumbaan Suzuka 8-Hour yang menggunakan jentera 1,000cc, berbeza dengan jentera 600cc ARRC. Walaupun masih penat kerana baru selesai perlumbaan Endurance, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak memberikan yang terbaik dalam saingan ARRC,” ujar Zaqhwan.

“Misi saya adalah untuk kembali ke podium ARRC.

"Tahun lepas saya muncul juara dalam Perlumbaan 1 manakala meraih tempat kedua dalam Perlumbaan 2.

"Pada masa sama, saya berharap dapat meraih podium yang pertama untuk musim ini selain membantu pasukan, Musashi Boon Siew Honda Racing, untuk memperbaiki pungutan mata pasukan,” tambah Zaqhwan yang menduduki tangga ke-10 SuperSports 600cc dan masih memburu podium pertama musim 2018.

Menjelaskan sedikit tentang pencapaian dalam Suzuka 8-Hour, Zaqhwan berkata, "Perlumbaan tahun ini lebih sukar disebabkan faktor cuaca yang tidak menentu.

"Kami bergelut dengan beberapa masalah pada peringkat awal, namun dapat menanganinya dengan baik sehingga ke penghujung perlumbaan dan gembira dapat memperbaiki pencapaian musim 2017."