Dua pelari pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli dan Jonathan Nyepa, tidak akan beraksi dalam Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) April depan ekoran kesuntukan masa apabila hanya akan terbang ke kem latihan intensif di Amerika Syarikat hujung bulan ini.

Dua pelari pecut itu perlukan lebih masa bagi menyesuaikan diri sebaik sahaja tiba di Amerika Syarikat dan dilihat mustahil untuk segera melakukan persiapan saat akhir ke ATF di Doha, Qatar.

Ia bukanlah sesuatu yang merugikan kerana paling utama adalah fokus mereka di sana kerana bakal mengikuti program latihan bekas juara dunia, Dwight Philips.

Malah, Zaidatul dan Jonathan turut akan menyertai kejohanan bertaraf tinggi di sana bagi memastikan misi layak secara merit ke Kejohanan Dunia tercapai.

"Mereka tidak akan beraksi dalam ATF, sebaliknya bertanding dalam kejohanan di Amerika Syarikat. Jadi, diharapkan mereka layak ke Kejohanan Dunia. Dalam masa sama, kami akan mencari kejohanan di Eropah. Ia akan dibincang di Amerika Syarikat," kata jurulatih pecut negara, M. Balamurugan.

Zaidatul mahu memastikan peluang berlatih selama sembilan bulan di Amerika Syarikat lebih dimanfaatkan untuk meraih pengalaman bersama jaguh dunia lain dan enggan dihimpit tekanan akibat terlalu memikirkan sasaran yang diletakkan di atas bahunya.

"Kalau kami terlalu fikirkan catatan masa yang dimahukan, susah untuk meraihnya. Sekarang saya cuma fokus latihan dan perbaiki kekurangan. Itu yang lebih saya tekankan berbanding tertekan dengan apa yang orang ramai katakan. Latihan lebih penting," ujar Zaidatul.