Pemilik pasukan Givi Honda Yuzy Racing, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini, gembira kerana pengeluar aksesori motosikal antarabangsa dari Itali, Givi, kekal sebagai penaja utama pasukan buat tahun kelima berturut-turut untuk pusingan pembukaan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2017 di Temerloh, Pahang pada 4-5 Mac ini.

Menurut bekas pelumba MotoGP negara itu, penajaan bukan sahaja untuk siri kejuaraan tempatan, sebaliknya turut menaja pasukannya untuk beraksi dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).

“Tahun 2017 ini merupakan detik penting di dalam Cub Prix di mana jentera 150cc dijadikan sebagai tarikan utama yang menggantikan kategori CP130. Justeru, aksi musim ini begitu dinantikan peminat sukan permotoran,” katanya.

"Penajaan Givi untuk tahun kelima berturut-turut ini sangat bermakna kerana jenama antarabangsa ini terus percaya untuk bersama kami di dalam rancangan penjenamaan mereka di Malaysia, malah rantau Asia.”

“Tahun ini juga, kami akan memakai helmet Givi Carbon Fibre HPS40.5 yang diadaptasi untuk kegunaan perlumbaan. Yang menariknya ialah corak grafik adalah rekaan yang digunakan oleh saya ketika menjadi pelumba dalam Kejohanan GP Dunia dari tahun 1996-2002,” jelas Yuzy.

Pengarah Urusan Givi Asia Sdn Bhd, On Hai Swee, berkata, “Kami sangat berbesar hati untuk kembali menaja Yuzy Racing Team. Bukan itu saja, malah kami juga akan turut serta bersama-sama di tapak promosi Cub Prix untuk beberapa siri.

"Dengan penambahan jumlah barangan Givi, kami akan terus mendekati pengguna, meningkatkan pemasaran dan jualan, terutama di luar lembah Klang.

"Juga di dalam perancangan kami ialah helmet edisi khas, Yuzy Racing, bagi seluruh peminat sukan permotoran khususnya dan penunggang motosikal umumnya.”

Saingan 10 pusingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS akan bermula di Temerloh hujng minggu ini.