Bekas jurulatih terjun negara, Yang Zhuliang, bimbang mengenai peluang Malaysia untuk meraih pingat dalam Kejohanan Dunia tahun depan selepas barisan pengendali kebangsaan dirombak.

Wakil Astro Arena, Bazly Azmi, sempat menemu bual jurulatih kelahiran China itu sebelum dia meninggalkan Malaysia minggu depan berikutan kontraknya tidak disambung.

Ia menimbulkan persoalan mengenai kekuatan negara selepas kontrak Zhuliang dan rakan sejawatnya, Christian Brooker, tidak disambung oleh Persekutuan Renang Malaysia (MS).

Lebih-lebih lagi, tanpa pingat Sukan Olimpik Tokyo 2020, beberapa penerjun dijangka bakal bersara.

"Malaysia telah melakukan usaha dengan baik malah mengejutkan dunia kerana mampu menjadi pencabar utama.

"Tapi sukar untuk meramalkan kedudukan Malaysia pada masa depan, Malaysia perlu menggandakan usaha.

"MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara) banyak membantu dan menawarkan sokongan kepada Cheong Jun Hoong, cuma jadual latihan selalu menjadi kekangan.

"Lagipun keluarga saya sentiasa mahu saya pulang ke pangkuan mereka selepas bertahun lamanya merantau," kata jurulatih negara sejak 2001 itu.