Penerjun wanita negara, Wendy Ng Yan Yee, menganggap Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil memberi kenangan yang cukup pahit dalam kariernya, namun mahu mengubah senario itu menjelang Kejohanan Terjun Grand Prix (GP) FINA, November depan.

Kali terakhir Yan Yee beraksi di Bukit Jalil adalah ketika Sukan SEA Kuala Lumpur pada tahun lalu, sebelum bermula bermula detik pahit dalam hidupnya apabila disahkan positif doping jenis Sibutramine.

Insiden itu menyaksikan dirinya digantung selama lapan bulan oleh persekutuan Renang Antarabangsa (FINA).

Justeru, dia tidak menolak aura berlainan dirasai untuk kembali beraksi di venue itu dalam saingan GP Terjun pada November depan dan pastinya ingin kembali meraih kejayaan berharga bagi mencipta memori lebih indah, sekaligus melupakan insiden pahit itu.

"Saya berasa sangat gemuruh kerana ia berlaku di Malaysia. Malah, ketika ini apabila berdiri di atas papan, saya masih risau.

"Namun, saya gembira diberi kekuatan untuk membuktikan kemampuan," kata Yan Yee.

Sewaktu ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) pada hari ini, Yan Yee juga menjelaskan dia ingin mengambil rehat terlebih dahulu untuk fokus kepada kecederaan belakang dan bahu yang masih dirasai sebelum saingan GP bermula.

"Ia melibatkan bahagian belakang dan bahu, memerlukan pemulihan yang sempurna sebelum kembali beraksi.

"Sakit tetapi mental perlu kuat. Saya gembira dengan terjunan yang saya lakukan," tambahnya.