Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) bersedia untuk membantu menguruskan skim kesihatan khas atlet yang bakal dilaksanakan andai diberi kepercayaan penuh oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Yakeb menyambut baik inisiatif KBS itu untuk memberikan kemudahan perubatan dan kesihatan, bukan sahaja kepada atlet sedia ada, bahkan buat bekas atlet juga.

Bahkan, Yakeb juga tiada masalah untuk menguruskan skim tersebut memandangkan mereka sudah biasa dengan hal yang membabitkan bekas atlet negara, khususnya berkaitan faktor kesihatan.

"Secara umumnya, Yakeb menjaga kebajikan bekas atlet negara dengan dana RM3 juta yang diperoleh.

"Kalau selepas ini Yakeb perlu menguruskan atlet semasa, mungkin pihak atasan perlu mempertimbangkan tambahan dana," kata Pengurus Besar Yakeb, Zuhairi Abd Manaf.

Dengan adanya skim kesihatan khas ini, sudah pasti Yakeb tidak lagi tempang dalam menguruskan segala kebajikan bekas atlet memandangkan mereka pernah berdepan masalah kewangan yang kritikal.

Perkembangan itu mendapat reaksi positif dalam kalangan atlet negara.

"Sebenarnya, saya tidak menyangka akan menerima bantuan skim ini kerana ini buat pertama kalinya berlaku. Langkah ini sangat-sangat baik dan satu pembaharuan dalam sukan Malaysia.

"Saya bersyukur kerana Kerajaan Malaysia masih mengambil berat atlet Malaysia," kata pemain sepak takraw negara, Mohd Khairul Zaman Hamir Akhbar.

Bekas pelumba basikal negara, Datuk Ng Joo Ngan, pula berkata: "Kini, atlet tidak perlu lagi bergantung kepada Yakeb semata-mata memandangkan atlet akan mempunyai lebih banyak pilihan kerana mereka juga boleh merujuk kepada Institut Sukan Negara (ISN).

"Ini satu berita gembira buat semua warga sukan."

Tambah penembak wanita negara, Shahera Rahim Raja: "Saya berharap ini satu pembaharuan yang baik buat atlet dan dapat banyak menawarkan bantuan kepada atlet."