Juara Universal WWE, Brock Lesnar menongkah ramalan banyak pihak dengan mengekalkan kejuaraannya di acara SummerSlam, semalam.

Biarpun menerima tentangan daripada tiga lagi bintang utama Raw iaitu Roman Reigns, Samoa Joe dan Braun Strowman di perlawanan kemuncak, namun Lesnar bijak mencuri peluang walaupun agak lelah di akhir perlawanan.

Dengan peraturan perlawanan empat penjuru, sesiapa sahaja boleh membuat tindanan pin ke atas mana-mana penggusti lain, membuatkan ramai yang menjangkakan Lesnar akan terlepas kejuaraannya kali ini. Tambahan pula dengan desas desus yang mengatakan beliau ingin kembali ke gelanggang oktagon UFC penghujung tahun ini.

Bergelar juara itu barangkali sesuatu yang mudah. Namun usaha untuk mempertahankan kejuaraan itu pasti lebih sukar dengan pelbagai mehnah dan tribulasi. Ketika perlawanan semalam, dua meja pengulas di tepi gelanggang menjadi ‘tilam empuk’ buat Lesnar hasil bantingan Braun Strowman. Tidak cukup dengan itu, satu lagi meja diangkat Sang Raksasa Di Kalangan Manusia itu dan dihempap ke atas The Beast.



Pasukan perubatan terpaksa dipanggil bagi memberi rawatan kecemasan kepada Lesnar. Merasakan yang Lesnar tidak lagi mampu meneruskan perlawanan, beliau diusung ke belakang tabir untuk menerima pemeriksaan lanjut.

Ketiadaan Lesnar sudah pasti memberi peluang kepada tiga lagi penggusti lain. Pelbagai gerakan dilaksanakan Roman, Joe dan Strowman bagi melemahkan lawan masing-masing. Pelbagai objek asing seperti tangga turut digunakan bagi menambah rencah perlawanan yang tiada sekatan itu.

Disangka panas hingga ke petang, rupanya puting beliung mengganas kembali di tengahari. Lesnar yang disangka telah tersingkir, muncul semula dari belakang tabir tidak berapa lama kemudian dan memberikan beberapa gerakan lazimnya iaitu German Suplex kepada semua yang ada. Cuma Strowman sahaja yang terselamat kerana fizikalnya yang besar menyebabkan usaha Lesnar untuk membawa Strowman ‘bersiar ke Suplex City’ tidak menjadi.



Kunci Coquina oleh Joe nyaris menjadi lagu dodoi indah buat Lesnar apabila ia berjaya terikat kemas di leher bekas Juara UFC itu. Namun Lesnar enggan menyerah kalah dan lantas memberikan pusingan beliung F5 ke atas Joe. Baru saja tindanan pin hendak dibuat, muncul pula Roman menghentikan kiraan.

Tiga tumbukan layang Superman dihadiahkan Roman kepada Lesnar. Menunggu Lesnar bangkit untuk satu lagi gerakan penyudah rempuhan bahu, ia bertukar menjadi tragedi apabila Roman terperangkar dengan posisi F5, lantas berpusing sebelum terhempas kuat ke lantai. Tiga kiraan dan Lesnar diisytihar kekal sebagai juara.

Rata-rata penonton memuji perlawanan ini kerana rentaknya yang laju dan bertenaga. Terbukti, dengan empat penggusti Powerhouse sekalipun, ia masih mampu mempersembahkan perlawanan yang menarik sehingga menimbulkan rasa tidak senang duduk kepada penonton.

Pujian juga wajar diberikan kepada Strowman yang banyak menampilkan aksi-aksi mengagumkan. Biarpun seorang yang paling junior di kalangan keempat-empat mereka, Strowman boleh dianggap sebagai Man of the Match dalam perlawanan ini. Sayang sekali kejuaraan masih belum mahu singgah di bahunya.

Aksi bertenaga Strowman juga mendapat perhatian daripada bintang gusti lagenda paling popular sepanjang zaman iaitu Hulk Hogan. Melalui catatan di Twitter, Hogan melihat Strowman adalah Hulkster generasi baharu. Bukan itu sahaja, Hogan juga berangan-angan untuk menjadi pengurus kepada bintang gergasi berusia 32 tahun itu.



Dengan reaksi positif dan sorakan terhadap Strowman oleh sebahagian besar penonton semalam, tidak mustahil Strowman boleh berubah kepada watak suka ramai satu masa nanti.

Lain pula ceritanya buat bintang sensasi Jepun, Shinsuke Nakamura. Dengan harapan tinggi oleh sebahagian besar WWE Universe (termasuk penulis), ia ibarat satu beban yang tidak tergalas buatnya sehingga beliau gagal untuk menyerlah dan merampas Kejuaraan WWE daripada Jinder Mahal.



Tidak banyak aksi menarik yang disajikan dan perlawanan juga berjalan sekadar ‘biasa-biasa’. Jinder masih lagi mengharapkan bantuan daripada Singh Brothers untuk mengganggu fokus The King of Strong Style itu. Kesudahannya, kedua khadam Maharaja Moden itu menerima padah apabila menerima serangan lutut Kinsasha oleh Nakamura.

Malang sekali apabila Jinder mengambil peluang ini dengan memberikan hempasan Khalass ke atas Nakamura, membuatkan bintang Jepun itu terkulai dan hanya membiarkan pengadil menyudahkan tiga kiraan.

Pasca perlawanan, Jinder yang ditemani kedua balacinya telah ditemubual di belakang tabir. Dengan mendabik dada, Jinder mendakwa yang dirinya tanpa diragui adalah Juara WWE terhebat sepanjang zaman kerana mampu menundukkan Randy Orton dan bintang sensasi antarabangsa, Shinsuke Nakamura.



Mengulas tentang kekalahannya itu, Nakamura melalui catatan di Twitter menulis yang segalanya masih belum berakhir dan meminta peminat bersabar untuk episod Smackdown Live seterusnya. Sang suria akan kembali menyinar untuknya.


Keputusan perlawanan lain yang berlangsung di acara Summerslam semalam:

1. The Miz, Bo Dallas & Curtis Axel kalahkan Jason Jordan dan Hardy Boyz

2. Neville rampas semula Kejuaraan Cruiserweight daripada Akira Tozawa

3. The Usos tundukkan The New Day seterusnya kembali bergelar Juara Regu Smackdown

4. Baron Corbin terus dirudung malang apabila tewas kepada John Cena

5. Naomi terlepas Kejuaraan Wanita Smackdown kepada Natalya

6. Big Cass benam Big Show dengan Enzo Amore yang bersusah payah melepaskan diri daripada sangkar besi tergantung, semata-mata untuk memakan tapak kasut Cass.

7. Randy Orton hadiahkan RKO kepada Rusev dan beroleh kemenangan dalam masa hanya beberapa saat.

8. Sasha Banks akhiri badi kekalahan di Brooklyn apabila berjaya menundukkan Alexa Bliss seterusnya bergelar Juara Wanita Raw buat kali keempat.

9. "Raja Jembalang" Finn Balor berjaya lunaskan dendam dengan menundukkan Bray Wyatt.

10. Dean Ambrose dan Seth Rollins capai persefahaman kembali dengan muncul sebagai Juara Regu Raw baharu apabila berjaya menewaskan Sheamus dan Cesaro.

11. AJ Styles pertahan Kejuaraan Amerika Syarikat dengan mengecewakan Kevin Owens.

Secara keseluruhan, SummerSlam masih berjaya menyajikan persembahan yang menarik walau masih ada kekurangan di satu dua tempat. Oleh kerana acara NXT Takeover Brooklyn sebelum itu telah meletakkan satu piawaian yang amat tinggi, maka secara atas kertasnya, acara untuk roster utama ini masih ketinggalan bagi menyaingi jenama ketiga WWE hasil kendalian Triple H itu.

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network dan saksikan semua acara pay per view lain setiap bulan eksklusif secara langsung yang turut boleh diikuti di Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 19,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.