Belum pun hilang kehangatan pelukan selamat tinggal oleh Roman Reigns kepada rakan bersaudaranya The Shield, Dean Ambrose tergamak melakukan onar dengan menyerang rakan sekutunya Seth Rollins di acara kemuncak WWE Raw, semalam.

Terkesima dengan pengumuman Roman Reigns di awal siaran yang mengumumkan dirinya diserang leukemia dan terpaksa melepaskan Kejuaraan Universal miliknya, emosi WWE Universe seakan terubat apabila pasangan regu Ambrose dan Rollins berjaya menumpaskan gandingan Dolph Ziggler dan Drew McIntryre sekaligus bergelar Juara Regu Raw yang baharu.

Namun kegirangan penonton yang meraikan kejayaan dua bintang pujaan ramai itu terbejat apabila tanpa disangka, Dean Ambrose menyerang Seth Rollins dari belakang dengan melakukan tujahan kepala Dirty Deeds. Tidak cukup dengan itu, Rollins turut dibelasah hingga ke luar gelanggang dan menerima satu lagi gerakan penyudah Ambrose itu di lantai arena yang tidak bertutup.

Tindakan di luar jangkaan The Lunatic Fringe itu sekaligus memberi isyarat bahawa ikatan pasukan The Shield runtuh buat kali kedua setelah terjalin kembali pertengahan tahun lalu. Ia terhenti seketika tidak lama kemudian apabila Ambrose terpaksa berehat selama sembilan bulan akibat kecederaan bahu dan kembali seminggu sebelum acara WWE Summerslam pada bulan Ogos yang lalu.

Dalam perkembangan lain, Kejuaraan Universal yang kini dikosongkan oleh Roman Reigns akan tetap dipertaruhkan seperti perancangan asal. Setelah Roman menarik diri, kini Braun Strowman akan bertemu satu lawan satu dengan mantan juara Brock Lesnar di acara WWE Crown Jewel pada 2 November depan.

Keputusan lain acara Raw:
1. Finn Balor kalahkan Bobby Lashley
2. Ruby Riott tewaskan Sasha Banks
3. Brothers of Destruction bersemuka dengan De-Generation X
4. Elias tumpaskan Apollo Crews
5. Ember Moon ketepikan cabaran daripada Nia Jax, Tamina Snuka dan Dana Brooke dalam perlawanan empat penjuru

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acara pay-per-view pertama wanita,WWEEvolution pada 29 Oktober ini dan kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.