Acara Raw minggu ini tampil berbeza apabila separuh daripada siaran menampilkan aksi tanpa henti perlawanan berangkai (gauntlet) tujuh individu sebagai previu acara Elimination Chamber pada Isnin depan.

Dua anggota The Shield, Roman Reigns dan Seth Rollins berentap sesama sendiri dalam perlawanan sepak mula dengan masing-masing mengenepikan seketika persahabatan erat antara mereka bagi membuktikan siapa yang lebih hebat untuk mara ke perlawanan seterusnya.

The Big Dog terpempan di akhir perlawanan apabila The Architect berjaya melakukan tindanan bergulung seterusnya menjadi pemenang. Ternyata keupayaan Rollins bukan sebarangan apabila mampu bertahan selama 1 jam 5 minit dengan turut membenam John Cena dalam perlawanan berikutnya.

Elias memanfaatkan sepenuhnya faktor keletihan yang dihadapi Rollins apabila gerakan penyudah Drift Away berjaya membuatkan Rollins tersingkir. Finn Balor pula menyambung aksi bertenaga dan mengucapkan selamat jalan kepada Elias hasil tujahan padu Coup De Grace ke bahagian abdomen Elias.

Juara Antara Benua, The Miz seperti biasa menggunakan helah balacinya Miztourage untuk menggangu fokus Balor. Biarpun Balor berusaha sedaya upaya untuk kekal dalam momentumnya, namun siri gangguan dari luar oleh Bo Dallas dan Curtis Axel memudahkan Miz memberikan hempasan Skull Crushing Finale lantas beroleh kemenangan.

Hasrat Miz untuk meraikan kejayaan tersebut tidak kekal lama apabila ngauman ‘BRAUNNN’ dan muzik tema gergasi itu kedengaran. Dengan mudah Braun Strowman memberikan tunjuk ajar berguna kepada Miz dan sekutunya dengan siri hempasan padu Powerslam kepada ketiga-tiga mereka.

Kelebihan sebagai peserta terakhir, Braun dinobatkan sebagai pemenang perlawanan yang berdurasi selama 1 jam 47 minit ini, menjadikan ia sebagai perlawanan paling panjang dalam sejarah WWE.

Keputusan lain:
1. Titus Worldwide tewaskan Juara Regu Raw Sheamus & Cesaro
2. Sasha Banks, Bayley & Mickie James kalahkan Juara Wanita Raw Alexa Bliss, Sonya Deville & Mandy Rose

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acaraWWEElimination Chamber dan kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.