Kemenangan Randy Orton di acara WWE Hell In A Cell hujung minggu lalu berjaya meletakkannya sebagai antara jaguh terhebat di WWE apabila menggondol kejuaraan dunia itu buat kali ke 14 sepanjang 18 tahun kariernya di syarikat tersebut.

Namun harga yang mahal terpaksa dibayar oleh bintang yang mendapat jolokan sebagai The Viper ini apabila kini dirinya menjadi buruan beberapa bintang lain yang turut sama mengimpikan untuk merampas Kejuaraan WWE yang kini sedang disandangnya itu.

Setelah tewas bermaruah kepada Orton dalam perlawanan sangkar besi Hell In A Cell tempoh hari, bekas juara Drew McIntyre bertekad untuk merampas semula kejuaraan miliknya dan memberikan peringatan bahawa sekali dirinya tewas, ia hanya akan menambahkan lagi semangatnya untuk bangkit. Kerana itu, tiada riak kekecewaan jelas terpancar di wajahnya semasa pembukaan acara Raw semalam, kerana yakin saatnya untuk bergelar juara semula akan tiba semula.

Bukan hanya Drew, malah seorang lagi bintang turut mempunyai hajat yang sama. Setelah berjaya merampas beg bimbit Money In The Bank dengan menewaskan Otis di acara Hell In A Cell kelmarin, The Miz kini boleh berbangga kerana sekali lagi bergelar Mr Money In The Bank.

Ibarat déjà vu dan kembali ke tahun 2010, Miz memegang beg bimbit yang mengandungi kontrak untuk mencabar juara pada bila-bila masa itu pada masa yang sama Orton bergelar Juara WWE.

Miz mengungkit kembali bagaimana beliau berjaya menunaikan kontrak tersebut ke atas Orton sehingga berjaya bergelar Juara WWE waktu itu. Dengan John Morrison kini berada di sampingnya, Miz menaruh sepenuh keyakinan untuk sekali lagi berada di puncak dengan bergelar juara. Mujur Drew berjaya menutup kelancangan mulut Miz dengan membelasah kedua bekas Juara Beregu itu dan memadamkan seketika hasrat The Miz untuk mencabar Orton.

Tidak cukup dengan itu, makhluk kejam The Fiend turut mengintai peluang untuk merampas bengkung kejuaraan milik Orton. Di segmen kemuncak Raw semalam, Orton yang menjadi tetamu undangan dalam program bual bicara The Moment of Bliss kelolaan Alexa Bliss yang kini menjadi kuda tunggangan Fiend, terpaksa mengambil langkah kesiapsiagaan kerana enggan terperangkap dengan umpan Fiend yang menggunakan Alexa sebagai umpan.

Dengan cabaran dari segenap penjuru, Orton kini berada dalam situasi getir kerana segalanya boleh berlaku. Ditambah pula dengan tekanan sebagai Juara WWE, Orton akan mewakili jenama Raw untuk berdepan dengan Juara Universal Roman Reigns yang menjadi ayam tambatan jenama Smackdown di acara WWE Survivor Series pada 23 November depan.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acara WWE Survivor Series pada 23 November depan dan kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.