Rombakan tahunan para bintang Raw dan Smackdown bagi membuka lembaran baharu buat kedua-dua jenama yang berlangsung semalam nampaknya tidak menjanjikan sesuatu yang positif buat Juara Amerika Syarikat WWE, Jinder Mahal.

Ketika segmen pembukaan yang menyaksikan Pengurus Besar Raw Kurt Angle membuat ucapan alu-aluan, The Modern Day Maharaja muncul dan mendesak agar Angle memberikan layanan berkelas eksklusif kepadanya setelah berpindah jenama dari Smackdown ke Raw.

Enggan melayan segala karenah Jinder, Angle membuatnya terpana apabila mengumumkan yang Jinder perlu mempertaruhkan kejuaraannya saat itu juga, dan Jeff Hardy yang baru pulih daripada kecederaan telah berbesar hati menyahut cabaran tersebut.

Ternyata malam pertama Jinder di Raw tidak seperti yang dijangka apabila Jeff Hardy mencipta kejutan dengan menewaskan Jinder hasil gerakan Swanton Bomb dari puncak tali paling atas gelanggang.

Seterusnya menjadikan The Charismatic Enigma bergelar Juara Amerika Syarikat WWE buat pertama kali dalam kariernya.

Rombakan roster semalam juga menyaksikan beberapa nama lagi dari Smackdown telah diserapkan ke Raw iaitu Riott Squad (Ruby Riott/ Sarah Logan/ Liv Morgan), Kevin Owens, Sami Zayn, Zack Ryder, Fandango, Tyler Breeze, Natalya, Dolph Ziggler, Baron Corbin, Konnor, Viktor, Bobby Roode, Mojo Rawley, Mike Kanellis, Chad Gable dan bekas Juara NXT, Drew McIntyre.

Pengumuman tentang bintang Raw yang akan ke Smackdown pula akan dibuat di acara Smackdown minggu ini.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Fastlane dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.