Seperti dijangka, pertembungan di antara Triple H dan The Undertaker di acara WWE Super Show-Down di Australia pada Sabtu lepas bukan pengakhiran segala-galanya.

Kecewa atas apa yang dilakukan oleh Brothers Of Destruction yang menyerang mereka secara curi pasca perlawanan, membuatkan Triple H bersama sekutunya Shawn Michaels bertekad untuk membalas dendam.

Ketika segmen pembukaan WWE Raw semalam, Shawn Michaels yang telah lapan tahun menggantung but dan bersara daripada sebarang perlawanan, mengejutkan WWE Universe di mana beliau telah menyahut cabaran daripada Triple H yang mengungkapkan soalan lazim pasukan De-Generation X (DX) iaitu “Are you ready?”, dan disusuli oleh aksi kedua mereka yang mengoyakkan t-shirt lantas mempamerkan t-shirt DX, menandakan kebangkitan semula DX untuk mendepani Undertaker dan Kane di acara WWE Crown Jewel di Arab Saudi pada 2 November depan.



Kerjasama dan persefahaman yang terjalin antara Juara Wanita Raw, Ronda Rousey yang berjaya menewaskan trio Riott Squadd di acara WWE Super Show-Down nampaknya tidak bertahan lama.

Setelah sekali lagi berjaya menundukkan gandingan Ruby Riott, Liv Morgan dan Sarah Logan di acara Raw semalam, pasangan kembar Brie dan Nikki telah menyerang Ronda tanpa belas kasihan sebaik sahaja mereka meraikan kejayaan pasca perlawanan.

Usaha Ronda untuk melawan tidak menjadi apabila serangan tanpa henti oleh Bella bertali arus sehingga melarat ke luar gelanggang sehingga memaksa beberapa pengadil keluar untuk mengawal keadaan.

Natijahnya, kini Nikki Bella telah dinamakan sebagai pencabar utama kejuaraan milik Ronda dan perlawanan mereka akan mengambil tempat di acara pay per view pertama wanita, WWE Evolution pada 29 Oktober depan.



Setelah berjaya membenam gandingan Braun Strowman, Dolph Ziggler dan Drew McIntyre di acara WWE Super Show-Down pada Sabtu, sekali lagi trio The Shield dipertemukan dengan mereka di acara kemuncak Raw semalam.

Namun tuah kali ini seakan menyebelahi pasukan pimpinan Monster Among Men. Ketika Roman dan Seth sedang sibuk menangani Strowman di luar gelanggang, peluang ini diambil oleh McIntyre dengan melakukan gerakan penyudah Lights Out Claymore ke atas Ambrose yang sedang teralpa di dalam gelanggang. Tiga kiraan pin menyusul, dan pasukan McIntyre diumum sebagai pemenang.

Cubaan Roman dan Rollins untuk mendapatkan Ambrose bertukar menjadi tanda tanya apabila The Lunatic Fringe dilihat terus keluar daripada gelanggang meninggalkan mereka tanpa sebarang isyarat. Tanpa langsung menoleh ke belakang, Roman dan Rollins terkesima dengan tindakan tersebut seolah-olah Ambrose memberi isyarat seperti ingin meninggalkan pasukan yang terbina kembali tahun lalu itu.

Mungkinkah Ambrose berasa dirinya dikesampingkan? Atau berasa sedikit iri kepada Rollins dan Roman yang kini bergelar Juara Antara Benua dan Juara Universal sedangkan dirinya hanya ibarat pelengkap kepada agenda dua rakannya itu? Hanya Ambrose yang tahu jawapannya.

Keputusan lain acara Raw:
1. Bobby Lashley kalahkan Kevin Owens
2. Finn Balor & Bayley tewaskan Jinder Mahal & Alicia Fox
3. Kurt Angle membuat kejutan dengan muncul secara misteri seterusnya memenangi perlawanan Global Battle Royal dan layak ke Kejohanan World Cup di acara Crown Jewel
4. Ember Moon tundukkan Nia Jax secara kiraan keluar
5. Lita dan Trish Stratus cabar Mickie James dan Alexa Bliss di acara WWE Evolution
6. Bobby Roode & Chad Gable tumpaskan The Ancension

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acaraWWEEvolution pada 29 Oktober ini dan kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.