Acara Raw pasca Wrestlemania sememangnya amat dinantikan kerana penuh dengan kejutan. Tidak terkecuali untuk acara semalam di mana dapat disaksikan bekas juara dunia, Bobby Lashley kembali ke pangkuan WWE.

Bintang berusia 41 tahun itu muncul secara mengejut ketika segmen Elias bermain gitar sambil menyanyi memperlekehkan para penonton di arena.

Masih tampak gagah dan perkasa, persembahan Elias terhenti apabila The Dominator menghadiahkan satu gerakan neckbreaker diikuti dengan suplex menggunakan sebelah tangan ke atas The Drifter.

Ini merupakan kali pertama Lashley membuat penampilan semula bersama WWE setelah berkelana ke pelbagai sirkit bebas termasuk menyertai lapangan seni pertahanan diri campuran sejak tahun 2008.

Bekas Juara ECW dan Juara Amerika Syarikat WWE itu dijangka akan terus mengikat kontrak bersama jenama Raw dan tidak mustahil bakal menjadi pencabar utama kepada Brock Lesnar tidak lama lagi.

Selain Lashley, beberapa bintang dari jenama NXT turut diserapkan ke roster utama dengan membuat penampilan sulung di Raw semalam seperti bekas Juara Wanita NXT Ember Moon, No Way Jose dan bekas Juara Regu NXT Authors of Pain.

Turut sama membuat kemunculan semula adalah Jeff Hardy yang berpasangan bersama Seth Rollins dan Finn Balor menewaskan The Miz, Bo Dallas dan Curtis Axel.

Manakala Samoa Joe yang baru pulih daripada kecederaan lututnya turut sama membuat kejutan apabila bakal mencabar Roman Reigns di acara WWE Backlash bulan hadapan.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Backlash dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.