Acara pembahagian senarai bintang untuk jenama Raw dan Smackdown selesai di acara Raw semalam dengan menyaksikan beberapa perubahan besar bagi permulaan musim baharu di WWE untuk tahun 2021 yang mendatang.

Bermula di acara Smackdown pada Sabtu lalu, Stephanie McMahon selaku Ketua Pegawai Pemasaran WWE menggalas amanah dengan mengumumkan senarai bintang yang dipilih untuk terus berada di jenama masing-masing, tidak kurang juga yang terpaksa berhijrah ke jenama lain bagi permulaan lembaran baharu.

Juara di kedua-dua jenama iaitu Drew McIntyre selaku Juara WWE di Raw dan Roman Reigns sebagai Juara Universal di Smackdown mengekalkan status quo masing-masing dengan terus berada di jenama mereka. Dengan kata lain, kedua juara ini tidak berpindah jenama dan akan terus mempertahankan kejuaraan milik mereka di jenama yang mereka duduki.

Begitu juga bagi penyandang Kejuaraan Wanita di mana Asuka sebagai juara di Raw terus mendiami jenama merah tersebut manakala Bayley pula akan meneruskan hari-harinya sebagai Juara Wanita Smackdown di jenama biru tanpa perlu memeningkan kepala berhijrah ke jenama pesaing.


Situasi berbeza pula buat divisyen beregu WWE apabila Stephanie mengumumkan yang Juara Beregu Smackdown yang baharu, Kofi Kingston dan Xavier Woods dari pasukan The New Day dipindahkan ke Raw, manakala The Street Profits pula didrafkan ke jenama Smackdown. Bagi memudahkan proses perpindahan, kedua pasukan ini diarahkan untuk saling bertukar kejuaraan sesama sendiri di mana The New Day kini adalah Juara Beregu Raw dan pasangan Montez Ford dan Angelo Dawkins pula kini bergelar Juara Beregu Smackdown.

Perpindahan The New Day ke Raw nyata menerima respons yang agak bercampur baur oleh pasukan itu. Dengan hanya Kofi dan Woods ke Raw, bermakna Big E akan tinggal berseorangan di Smackdown dan sekaligus memisahkan trio ini yang telah bersama sejak tahun 2014. Namun hikmahnya, ia sekaligus akan memberikan peluang buat Big E untuk menyinar sebagai bintang solo dan menggapai kejuaraan yang ada di jenama Smackdown tanpa perlu dibayangi oleh Woods dan Kofi di sisinya.

Jika Kofi Kingston berjaya membuktikan keupayaannya dengan mampu bergelar Juara WWE tahun lalu, inikan pula Big E yang mempunyai kelebihan fizikal dan kebolehan yang tidak kurang hebatnya. Jika bintang dengan ketinggian 1.8 meter dan berat 129 kilogram ini memanfaatkan sepenuhnya segala aset yang dimilikinya, tidak mustahil bintang berusia 34 tahun ini mampu menjadi pesaing yang hebat dan bergelar Juara Universal WWE satu hari nanti.

Kejutan turut berlaku apabila menyaksikan buat pertama kali sejak pemecahan jenama pada tahun 2016, Seth Rollins dipindahkan ke Smackdown setelah mencipta pelbagai kejayaan di Raw selama ini. Pastinya ia membawa harapan baharu di Smackdown kerana Rollins selaku bekas juara mampu menjadi salah seorang prospek juara dan tidak mustahil akan mencabar bekas sekutunya dalam The Shield iaitu Roman Reigns yang kini menduduki takhta kejuaraan di Smackdown.

Cuma Rollins perlu menyelesaikan dahulu konfrontasinya dengan pasangan anak beranak Rey dan Dominic Mysterio yang juga didrafkan ke Smackdown, seolah-olah tidak boleh berenggang dengan The Monday Night Messiah itu.

Berikut merupakan senarai lengkap WWE Draft yang berlangsung:

Raw:

Bintang lelaki (22): Drew McIntyre (Juara WWE), Bobby Lashley (Juara Amerika Syarikat), R-Truth (Juara 24/7), AJ Styles, "The Fiend" Bray Wyatt, Randy Orton, Braun Strowman, Matt Riddle, Jeff Hardy, Keith Lee, Ricochet, Elias, Sheamus, Angel Garza, Humberto Carillo, Drew Gulak, Tucker, Dabba-Kato, Titus O'Neil, Akira Tozawa, Riddick Moss, Arturo Ruas, Erik

Bintang wanita (8): Asuka (Juara), Charlotte Flair, Naomi, Alexa Bliss, Lacey Evans, Nikki Cross, Peyton Royce, Lana

Pasukan regu lelaki (5): The New Day (Juara Beregu Raw), The Hurt Business, The Miz & John Morrison, Retribution, Lucha House Party

Pasukan regu wanita (2): Shayna Baszler & Nia Jax (Juara), Mandy Rose & Dana Brooke

Smackdown:

Bintang lelaki (15): Roman Reigns (Juara Universal), Sami Zayn (Juara Antara Benua), Seth Rollins, Daniel Bryan, Kevin Owens, Jey Uso, Big E, Aleister Black, Apollo Crews, Otis, Murphy, Kalisto, Lars Sullivan, King Corbin, Shorty G

Bintang wanita (5): Bayley (Juara), Sasha Banks, Bianca Belair, Carmella, Natalya, Billie Kay, Tamina, Zelina Vega

Regu lelaki (4): The Street Profits (Juara), Cesaro & Shinsuke Nakamura, Dolph Ziggler & Robert Roode, Rey & Dominik Mysterio

Regu wanita (1): The Riott Squad (Liv Morgan & Ruby Riott)

Belum didrafkan: Andrade, Mickie James, Becky Lynch, Jimmy Uso, Ivar, Sonya Deville, Edge, Jinder Mahal, Samoa Joe, Mojo Rawley, The Forgotten Sons, Bo Dallas, Big Show, John Cena, Bill Goldberg, Ronda Rousey, The Undertaker

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Hell In A Cell pada 26 Oktober depan dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.