Malaysia menambah satu lagi pingat emas, kali ini menerusi acara wushu kategori jianshu lelaki apabila Yeap Wai Kin meraih tempat pertama dalam aksi di Dewan 5, Menara Berkembar Petronas (KLCC), sebentar tadi.

Mengekori Wai Kin di tempat kedua dan meraih perak adalah seorang lagi wakil Malaysia, Wong Weng Son, sebelum tempat ketiga disahkan oleh Fung Jin Jie dari Singapura.

"Persediaan kami sejak dua tahun lalu menerusi Program Kita Juara membuahkan hasil.

"Terima kasih kepada semua pihak kerana memberikan sokongan terbaik apabila kami membuat persediaan secara berperingkat.

"Saya hanya menumpukan untuk memberikan aksi terbaik tanpa memikirkan pingat emas malah tidak memikirkan mengenai keputusan yang akan diraih.

"Saya hanya memberi fokus kepada aksi sendiri dan kejayaan ini sebagai pemangkin semangat untuk saya mengharungi aksi selepas ini," ujarnya.

Wai Kin meraih 9.67 mata manakala Weng Son di belakang (9.65 mata) dan Jin Jie (9.48 mata).

"Persaingan kali ini tidak begitu ketara.

"Kami tidak berasah gugup untuk mempertahankan emas, itu yang penting," tambah Weng Son.

Sementara itu, kem jianshu wanita juga berjaya membutirkan perak buat Malaysia apabila Phoon Eyin mencatat keputusan 9.63 mata.

Nasib tidak menyebelahinya apabila dibezakan dengan pemenang yang juga juara bertahan, Duong Thuy Vi (Vietnam), dengan 0.04 mata, namun berjaya mengatasi pemenang gangsa, Fung Hui Xin (Singapura), melalui perbezaan mata 0.03.

"Saya berasa gembira dengan persembahan saya.

"Saya tidak fikir apa-apa melainkan cuba bersungguh sungguh," kata Phoon Eyin.

Kejayaan Eyin dilihat berjaya memperbaiki pencapaian pada tahun 2013 di Myanmar selepas menduduki tempat ketiga ketika itu di belakang Thuy Vi serta wakil tuan rumah, Sandy Oo.