Penembak negara, Eddy Chew, mahu menjadikan Kejohanan Menembak Universiti Dunia (WUSG) sebagai medan untuk memperbaiki semula reputasinya setelah digugurkan daripada skuad kebangsaan hujung tahun lalu.

Dia tidak lagi bersama skuad menembak negara sejak November tahun lalu selepas gagal mempamerkan aksi memuaskan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Ia sekali gus menyaksikan atlet itu disisihkan daripada dua temasya besar tahun ini, iaitu Sukan Komanwel Gold Coast dan Sukan Asia Indonesia.

Sebaliknya, Eddy hanya akan menggalas tugas negara dalam Kejohanan Menembak Universiti Dunia yang kali pertama diadakan di tanah air di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan, Subang, bermula 14 Mac ini.

Dia berharap mampu meraih pencapaian lebih baik dalam edisi kali ini berbanding pingat gangsa di Emiriah Arab Bersatu (UAE), tiga tahun lalu.

"Saya tidak kecewa tetapi selepas diletakkan untuk beraksi dalam kejohanan ini, saya akan menampilkan aksi terbaik.

"Saya berharap seluruh pasukan dapat menunjukkan prestasi yang bagus walaupun kali ini turun tanpa Johnathan Wong," kata Eddy.

Pada 2014, Eddy mewakili negara ke Sukan Komanwel Glasgow dan meraih tempat keempat dalam acara 10 meter air pistol.

"Kejohanan seperti ini sebenarnya menepati matlamat dasar pendidikan negara, iaitu membentuk atlet sebagai graduan yang berjaya di dalam negara," kata Pengerusi Jawatankuasa Kejohanan Menembak Universiti Dunia, Datuk Nik Ali Mat Yunus.

Memasuki edisi ketujuh, kejohanan kali ini menyaksikan 24 negara mengambil bahagian dengan menghimpunkan 277 penembak yang akan bersaing dalam tiga disiplin, iaitu rifle, pistol dan shotgun.