Tiger Woods sekali lagi mempamerkan permainan tidak konsisten dalam aksi Jelajah PGA yang menyaksikan dia kembali dalam Terbuka Genesis di Riviera Country Club, hari ini.

Selepas 26 tahun membuat kemunculan dalam jelajah sebagai seorang amatur dalam pertandingan itu, Woods merakamkan satu di atas par 72 selepas memaparkan pukulan tee kurang memberangsangkan.

Juara gelaran utama 14 kali itu terus bergelut dengan pukulan jauh seperti semasa permulaan aksinya musim ini di Torrey Pines, bulan lalu.

Beberapa pukulan liar itu membawa padah buat Woods -- terutama pada lubang kedua, par lima pada lubang 11 untuk bogey berganda selepas pukulan awalnya tersangkut di pokok.

Walaupun ketinggalan, usaha keras pada lubang ke-12, 15, kelima dan ketujuh, Woods gembira kerana melepasi garis kelayakan.

"Ini permulaan yang baik," kata Woods kepada Sky Sports. "Saya mencatat banyak birdie, saya juga membuat banyak bogey.

"Beberapa bogey itu benar-benar kesilapan mudah, ada yang tersangkut di pokok pada lubang 11, ia agak janggal.

"Tetapi secara keseluruhannya, saya kembali bersaing.

"Saya membuat dua atas par sebelum kembali mengimbangi par, malangnya saya membuat satu lagi bogey pada lubang ketujuh."

Woods beraksi di samping Justin Thomas dan Rory McIlroy dalam pertembungan trio bertaraf bintang itu. Juara PGA Amerika Syarikat itu mencatat dua bawah par 69 manakala pemain Ireland Utara, McIlroy, dengan par 71.

"Seronok beraksi di samping mereka. Mereka merupakan teman saya dan saya gembira dapat beraksi dengan mereka," kata Woods.

"Kami semua bersaing, kami cuba mencatat angka yang bagus, kami juga membuat pukulan buruk... anda membenarkan pencabar untuk sedikit mendahului dan sebaik membuat satu pukulan yang yang baik, kami kembali berseronok.

"Saya melakukan hal yang sama, beberapa pukulan saya tersasar, lalu saya meluangkan masa untuk diri sendiri kira-kira 15 minit sebelum kembali berborak dengan mereka. Kami menikmati masa di sini.

"Mereka tidak akan mengendurkan permainan hari ini, saya harap mampu merakamkan catatan yang baik esok dan terus mendaki kedudukan."