Tiger Woods mengumumkan dia sedang mendapatkan bantuan profesional selepas ditahan polis atas kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah.

Ketika bekas pemain no.1 dunia itu masih bergelut dengan krisis kehidupan, Woods mendedahkan dia kini sedang menerima bantuan dalam cara mengurus ubatnya.

"Ketika ini, saya sedang mendapat bantuan profesional, terutama dalam mengurus ubat dan cara saya menangani sakit belakang dan masalah gangguan tidur," kata Woods dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada segala sokongan yang telah diberikan, terutama daripada peminat."

Woods ditahan polis selepas dia didapati tidur di kerusi pemandu pada jam 3 pagi, 29 Mei lalu di Jupiter, Florida.

Menurut laporan pihak berkuasa, terdapat kesan Xanax dan beberapa jenis dadah lain dalam tubuhnya.

Polis berkata Woods terpaksa dikejutkan dan ketika itu menampakkan pergerakan perlahan dan pertuturan yang tidak jelas.

Bagaimanapun, ujian alat pengukur nafas mendapati Woods tidak minum minuman beralkohol.

Menurut pemain golf berusia 41 tahun itu, tubuh badannya mengalami kesan negatif terhadap ubat-ubatan yang diambilnya.