Michelle Wie sambil tersenyum mengucapkan terima kasih kepada pasukan perubatan di Hospital Ottawa dan menyuarakan keazamannya untuk kembali ke lapangan golf selepas menjalanai pembedahan apendiks.

Wie terpaksa menarik diri daripada Terbuka Wanita Kanada Pasifik LPGA kelmarin dan ketika aksi final berlangsung, dia dimasukkan ke hospital bagi menjalani pembedahan.

Semalam, pemain berusia 27 tahun itu memuat naik kenyataan di laman Instagram: "Pembedahan apendiks saya berjalan lancar! Ini adalah tempoh 24 jam paling menyakitkan dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada pasukan perubatan di Ottawa yang tidak henti-henti membuat saya berasa selesa di sini.

"Dan terima kasih kepada rakan-rakan dan peminat yang hadir semalam bagi mengikuti perkembangan dan mendoakan kesejahteraan saya.

"Saya akan kembali beraksi sebaik mendapat pelepasan daripada doktor!!."

Tiada lagi tekanan dalam riak wajah Wie yang sempat menikmati sebiji donut ketika terlantar di atas katil hospital.