Wong Weng Son tidak sabar untuk mendapatkan sentuhan jurulatih dari Shanghai, China, yang akan membantu skuad negara menjelang dua kejohanan besar tahun ini.

Jurulatih dari China, Mao Ya Qi, yang juga merupakan bekas juara dunia, bakal menguatkan lagi persediaan skuad kebangsaan.

Ini sentuhan pertama bekas juara dunia itu ke atas skuad negara, lantas Weng Son yang bertekad mencipta kejuaraan, terutama dalam Kejohanan Wusyu Dunia Ke-15, Oktober depan, menganggap ia adalah petanda yang baik buatnya.

"Saya sentiasa mencuba sedaya-upaya tetapi tidak semestinya saya dapat menyertai kejohanan besar setiap tahun.

"Saya sudah berumur 27 tahun, saya berharap dapat meraih pingat lagi tidak kira warna apa sekalipun," katanya.

Tegas Weng Son, Ya Qi bakal bersama skuad negara kurang dari tiga minggu lagi dan mengharapkan keberkesanan corak latihan yang diterapkan jurulatih itu mampu membantunya merampas semula gelaran buat kali kedua.

Weng Son meraih kejuaraan sulungnya di peringkat dunia dalam acara jianshu di Kazan, Russia, dua tahun lalu.

"Atlet China lebih baik tetapi itu satu halangan dan saya sudah menjalani persiapan sejak dua tahun lalu.

"Dalam pertandingan, fokus saya hanya terarah kepada diri sendiri," katanya.