Juara wushu dunia, Wong Wen Son, tidak menganggap pencapaian individu menjadi keutamaan, sebaliknya kutipan pingat emas dalam disiplin changquan adalah tanggungjawabnya serta rakan senegara, Yeap Wai Kin, dalam Sukan Jakarta/Palembang, Ogos depan.

Sebaik sahaja nama Wen Son dan Wai Kin diumum selaku pemegang watak penting bagi disiplin changquan dalam Sukan Asia, ia bermakna kerjasama di antara kedua-dua atlet itu sudahpun bermula.

Mereka yang merupakan sahabat baik bakal menjadi kekuatan utama skuad wushu negara untuk memecah dominasi China atau Vietnam demi mencari emas pertama Sukan Asi, selepas Loh Jack Chang menyumbang gangsa di Incheon, empat tahun lalu.

"Seperti aksi Sukan SEA pada tahun lalu, saya mengekalkan semangat yang sama. Ia bukan melibatkan saya seorang dan bagi saya, apabila berpasangan, ia lebih memberikan semangat tinggi," ujar Wen Son.

Seramai empat atlet wushu lelaki negara dan tiga wakil wanita mengisi tujuh kuota maksimum bagi penyertaan setiap negara dalam Sukan Asia.

Daripada jumlah itu, hanya Jack Chang yang pernah beraksi di pentas itu manakala enam atlet lain bakal melalui pengalaman pertama.

Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (WFM), Datuk Chong Kim Fatt, dengan tegas menyifatkan pemilihan kali ini sebagai sesuatu yang begitu sengit dan ia bukan sekadar merujuk kepada prestasi tetapi merangkumi strategi untuk berhadapan wakil negara lain seperti China.

Dalam masa sama, atlet wushu wanita berpengalaman, Diana Bong, tidak disenaraikan dalam skuad yang akan berlepas ke Indonesia pada Ogos nanti.

"Pemain-pemain memang tampak yakin, cuma kami harus mengenal pasti bagaimana untuk menetapkan mentaliti mereka.

"Kami harus sentiasa mengingatkan mereka tentang misi dan perlu tahu bahawa mereka adalah yang terbaik daripada yang terbaik," kata Kim Fatt.