Skuad skuasy wanita negara tidak tertekan untuk beraksi buat kali pertama tanpa Datuk Nicol Ann David dalam Kejohanan Berpasukan Asia dan dan Dunia akan datang, sebaliknya tidak sabar membuktikan kemampuan mereka.

Biarpun skuad wanita kebangsaan terpaksa menunggu tarikh baru saingan Kejohanan Berpasukan Asia dan Dunia 2020 yang ditangguhkan ekoran pandemik Covid-19, semangat pemain negara, Low Wee Wern, masih membara untuk memikul tanggungjawab tersebut.

Selepas persaraan Nicol, pemain berusia 29 tahun itu menjadi tonggak senior yang ketika ini berada di ranking ke-23 dunia, menggalas tanggungjawab mengetuai pasukan dibarisi S. Sivasangari, Aifaa Azman, Rachel Arnold serta Chan Yiwen.

"Saya tidak sabar untuk menghadapi saingan ini kerana ia merupakan kali pertama kami tidak memiliki khidmat Nicol di dalam pasukan. Kini, kami dibarisi skuad lebih muda, jadi saya sedia untuk mengetuai pasukan dan melihat kemampuan rakan sepasukan," ujar Wee Wern.

Bagaimanapun, dia masih bergelut untuk berada di tahap terbaik seperti enam tahun lalu ketika mengisi kedudukan lima terbaik dunia.

Selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan berulang di bahagian lutut, Wee Wern memasang hasrat berada dalam kelompok 20 terbaik dunia musim ini, namun ia terjejas selepas kebanyakan Kejohanan Dunia dan Jelajah PSA ditunda.

"Memang berehat lama kerana kecederaan yang saya alami, jadi perlu bermula dari awal semula. Untuk kembali ke tahap tertinggi, saya memerlukan tempoh untuk menyesuaikan diri semula. Walaupun sudah beraksi setahun sejak kembali, tetap ada perkara yang perlu saya tingkatkan."