'Saya sangat kecewa', itu luahan pemain skuasy negara, Low Wee Wern selepas muncul antara 144 atlet yang digugurkan Majlis Sukan Negara (MSN) daripada program latihan kebangsaan.

Menerusi perkongsian bersama wartawan Astro Arena, Karl Nunis, bekas pemain nombor lima dunia itu mengakui terkejut dengan tindakan peneraju sukan kebangsaan berkenaan yang dianggapnya terlalu drastik.

Wee Wern bukanlah nama asing dalam sukan skuasy negara setelah deretan kejayaan yang dilakar atlet berusia 32 tahun itu.

Selain muncul salah satu pemain yang secara konsisten menghuni ranking 10 kelompok terbaik dunia ketika di kemuncak kerjaya dan antara kejayaan manis dilakar pemain kelahiran Pulau Pinang itu ialah meraih dua pingat emas Sukan Asia dan perak Kejohanan Berpasukan Dunia 2014.

"Saya telah diberitahu pada 18 Disember lalu bahawa kontrak saya akan tidak diperbaharui. (Tapi) saya percaya ia boleh dilakukan lebih awal bagi memastikan atlet-atlet membuat persiapan dengan mendapatkan sumber kewangan ataupun bersara, malah mendapatkan pekerjaan," katanya.

Pada waktu ini kancah sukan negara dalam proses untuk menyesuaikan dengan keadaan selepas pengumuman Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, untuk menggugurkan sejumlah besar atlet elit mahupun pelapis negara daripada program latihan kebangsaan.

Wujud persatuan sukan yang selama ini secara aktif mencari dana untuk pembangunan sukan itu sendiri seperti Persatuan Kanu Malaysia (MASCA).

Pelbagai inisiatif diambil oleh MASCA demi kelangsungan sukan kanu itu sendiri, malah mereka menetapkan sasaran besar dalam Sukan SEA mahupun dalam kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.