Jurulatih skuad angkat berat negara, Wang Zhi Quan, meninggalkan Malaysia selepas lapan tahun menabur bakti bersama skuad kebangsaan.

Pencapaian terbaik jurulatih kelahiran China itu adalah membantu Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad dan Aznil Bidin meraih pingat emas dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018 selain membantu Hafifi Mansor layak ke Sukan Olimpik Rio 2016.

Bagaimanapun, Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mahu mencuba angin baru dan enggan menyambung kontrak jurulatih berusia 60 tahun itu.

Dalam satu temu bual Nadi Weekend hari ini, Azroy Hazalwafie mengimbau kembali keakrabannya dengan bekas jurulatihnya itu.

"Dia menganggap saya sebagai anak, dia melayan saya seperti seorang raja.

"Sesampainya saya di lapangan terbang (di China), dia sudah ada di sana dengan beberapa pengawal peribadi untuk saya.

"Sampai ada satu tahap, saya hanya berlatih, makan dan tidur sahaja.

"Kerana baju yang saya pakai juga dibasuh, dijemur dan dilipat oleh jurulatih.

"Dia seorang jurulatih yang sangat mengambil berat, seperti seorang ayah terhadap anaknya," katanya.