Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM) memohon Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) agar membuat semakan semula mengenai kadar sewa di Pusat Boling Padang Bukit Kiara ekoran bayaran tinggi dilihat membebankan pengguna.

Presiden PLBM, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail, bimbang sekiranya kadar sewa gelanggang di situ kekal, minat orang ramai terhadap sukan itu akan berkurangan.

Dalam masa sama, jumlah kemudahan sukan itu yang cukup terhad di ibu negara membuatkannya menerima banyak rungutan daripada penggiat sukan boling padang.

Buat masa ini, kadar sewa bagi padang berbumbung ialah RM1,500, tidak berbumbung (RM1,000) dan untuk kegunaan latihan, RM35 bagi setiap jam ditetapkan untuk setiap gelanggang.

"Kalau sukan-sukan popular seperti badminton dan futsal, saya rasa tiada halangan untuk meletakkan kadar sewa untuk menampung perbelanjaan kerana saya faham ia perlu kos-kos penyelenggaraan tetapi bagi sukan seperti boling padang, kita mahu mencetuskan minat kepadanya dan bayaran yang tinggi pastinya membuatkan usaha itu menjadi sukar," katanya.

Wan Nawawi sedia berunding dengan PSM dalam mencari kewajaran kadar sewa yang sesuai di sebalik memahami PSM perlu menanggung kos selenggara bagi memastikan gelanggang di situ tidak mengalami kerosakan.

"Jika ditanya, tentunya pada peringkat permulaan ini kami mengharapkannya percuma kerana kami mahu menggalakkan sukan ini kepada orang ramai.

"Buat pemain-pemain boling padang yang mahu meluangkan masa bermain di sana, kita masih belum mencapai tahap sebegitu, sebagaimana yang berlaku di negara-negara luar seperti Australia dan New Zealand."