Penari 'breakdance' negara, Lego Sam, sudah mengecap pelbagai kejuaraan di peringkat antarabangsa kecuali satu gelaran idaman di negara sendiri.

Juara Sukan SEA Filipina 2019 itu berpeluang merealisasikannya dalam Kejohanan Breakdance Maya Kebangsaan, Ahad ini, yang juga menjadi medan pemilihan ke Kejohanan Dunia, hujung tahun ini.

"Saya sentiasa berkeyakinan tetapi tidak boleh melampaui batas, saya masih perlu menghormati pencabar.

"Apa pun, saya akan bersedia dan salurkan 100 peratus tenaga saya pada Ahad ini.

"Walaupun pernah memenangi banyak kejohanan, Kejohanan Breakdance Maya Kebangsaan ini kali pertama diadakan.

"Ia medan getir buat saya bagi mencerahkan laluan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Saya perlu mengutip mata untuk layak ke Sukan Olimpik," katanya.

Walaupun sudah dua tahun tidak membuat penampilan, dia bersedia mengejutkan dunia menerusi gerakan barunya.

"Kali ini saya harap dapat ke temasya Paris 2024 untuk membuktikan tenaga dan kehebatan Malaysia," katanya.