Pengendali Borneo Eagles, Edwin Cocker, berharap barisan pemain baharu yang disenaraikan untuk kejohanan Ragbi Antarabangsa Borneo Tujuh Sebelah 2017, akan mampu mengulangi kejuaraan pasukan itu, tahun lalu.

Kejohanan edisi ke-14 itu akan membuka tirainya di Padang Kelab Ragbi Eagles, di Sandakan, esok.

Cocker berkata, kesemua pemain yang disenaraikan kecuali beliau adalah kali pertama beraksi di kejohanan berkenaan.

"Kesemua pemain Borneo Eagles ini adalah pasukan pelapis skuad tujuh sebelah New Zealand.

"Kita juga harap kejohanan ini akan memberi pengalaman berguna kepada pemain yang dibarisi pemain muda, malah berpeluang mengintai tempat dalam skuad olimpik New Zealand di Jepun pada tahun 2020," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Kompleks Sukan Sandakan, di sini, pagi tadi.

Cocker berkata, pasukan itu mula bersama sejak Disember lalu selepas kejohanan kebangsaan di New Zealand, tahun lalu.

"Kesemua pemain berasal dari beberapa daerah berasingan, mereka masih muda dan saya yakin mereka mampu memberi saingan sengit kepada pasukan lain," katanya yang juga bekas ketua pasukan All Black.

Sementara itu, pengendali Hong Kong, Paul John, berharap pasukan yang muncul sebagai naib juara, tahun lalu, itu akan dapat menebus kekecewaan mereka di final, sebelum ini

"Saya baru seminggu mengendalikan pasukan, saya orang baru jadi saya tidak tahu pasal itu (muncul naib juara tahun lalu), apapun saya mahu mendapat keputusan lebih baik berbanding sebelum ini," katanya.

Tambah beliau, kebanyakan pemain yang disenaraikan adalah pemain yang sama ketika pasukan berkenaan menyertai kejohanan itu, tahun lalu.

"Ia (kejohanan Ragbi Antarabangsa Borneo Tujuh Sebelah) sesuatu yang baik untuk pasukan selepas bersaing dalam kejohanan di Hong Kong, baru-baru ini," katanya.