Juara Kejohanan Negara Komanwel, Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad, lega apabila Malaysia terlepas daripada senarai sembilan negara yang berdepan penggantungan Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) menjelang Kejohanan Dunia 2017 di California, Amerika Syarikat, November depan.

Malaysia bernasib baik apabila terlepas daripada penggantungan IWF ekoran kes doping.

Badan induk itu menyenaraikan sembilan negara, termasuk gergasi, China dan Kazakhstan, yang mencatat 10 kes positif doping apabila sampel air kencing atlet dalam Sukan Olimpik Beijing 2008 dan London 2012, diuji semula.

Skuad angkat berat negara mencatat tiga kes positif doping, tahun lalu.

Jumlah itu dilihat kecil, sekali gus memberikan lampu hijau untuk Malaysia menyertai Kejohanan Dunia di California.

"Saya sangat beruntung kerana Malaysia tidak digantung daripada bersaing dalam Kejohanan Dunia. Saya akan berusaha untuk memperbaiki kedudukan ranking," kata Wafi.

Jawatankuasa Eksekutif IWF akan bersidang pada 30 September ini untuk menentukan status sembilan negara itu dalam Kejohanan Dunia.

Sementara itu, Azroy tetap meneruskan sesi latihan bersendirian walaupun diberi pelepasan seminggu selepas menjuarai Kejohanan Negara Komanwel di Gold Coast, Australia, minggu lalu.

"Atlet-atlet Program Podium diberikan cuti seminggu selepas tamat Sukan SEA, namun tempoh itu agak pendek bagi saya. Jadi, saya meneruskan latihan sendiri di Majlis Sukan Negara (MSN)," katanya.